KUALA LUMPUR: Persidangan Khas Dewan Rakyat yang bermula pada Isnin bermula dengan kekecohan apabila Ahli Parlimen dari blok pembangkang membangkitkan usul tergempar dibawa Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN - Machang).

Dewan panas sebaik saja Speaker, Tan Sri Johari Abdul mahu memulakan aturan mesyuarat apabila Wan Ahmad Fayhsal bangkit bertanya berhubung usul tergempar dibawanya.

Soalan itu kemudian disambut beberapa Ahli Parlimen lain termasuk Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin dan dan Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN - Kota Bharu).

Keadaan itu menyebabkan beberapa Ahli Parlimen bertikam lidah terutama selepas Speaker tidak menjawab adakah usul tergempar tersebut boleh dibahas atau tidak.

“Usul (berkaitan keputusan lepas tanpa bebas Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi) saya ditolak,” kata Wan Ahmad Fayhsal.

“Usul telah pun ditolak,” balas Johari.

“Kalau dah tolak, macam mana nak bahas kalau ditolak?” soal Takiyuddin pula.

“Sebenarnya, saya tak beri ruang pun, tidak mengapa sebab saya dah tolak. Cuma saya nak beri ruang sebab saya dah tolak, saya beri ruang untuk bercakap sekejap lagi.

“Cuma bawa bersabar…bawa bersabar. Yang Berhormat tak tahu apa dalam kepala saya sekarang ini. Jadi bawa bersabar. Jangan tanya sekarang

“Sebab kita tak tahu kita tanya. kalau tahu kita tak takkan tanya,” balas Hamzah pula.

Speaker: “Saya ingat Ketua Pembangkang banyak tahun jadi menteri dan urusan seperti ini dibuat selepas urusan kerajaan.”

“Kebiasaannya apabila usul ditolak, YB Machang boleh berbicara mengikut perasan dia sajalah, usul sudah ditolak,” celah Datuk Seri Bung Moktar Radin (BN - Kinabatangan).

"Yang Berhormat sabar..sabar itu iman" - Bung Moktar

Speaker kemudian meneruskan aturan mesyuarat dan menegaskan beliau memahami kehangatan yang berlaku, kerana hari pertama, ‘enjin’ pun sedang panas.