MALAYSIA

Bas dua tingkat bawa 12 penumpang terbabas masuk longkang

Sinar Harian 31/08/2025 | 10:31 MYT
Sebuah bas ekspres dua tingkat terbabas ke dalam longkang di Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran Sungkai. - Foto Bomba Perak
IPOH: Seramai 12 penumpang dan dua pemandu terselamat selepas bas dinaiki mereka terbabas ke dalam longkang di Kilometer 369, Lebuh Raya Utara-Selatan dekat Sungkai di sini pada Ahad.


Ringkasan AI
  • Bas ekspres dua tingkat terbabas ke dalam longkang di KM369 Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran Sungkai ketika dalam perjalanan dari Melaka ke Butterworth.
  • Seramai 12 penumpang dan dua pemandu terselamat tanpa kecederaan, dan mereka meneruskan perjalanan menggunakan bas lain.
  • Operasi menyelamat oleh JBPM Perak tamat pada jam 1.56 tengah hari, dan kes diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.


Pemangku Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Shazlean Mohd Hanafiah berkata, kejadian itu melibatkan sebuah bas dua tingkat yang dalam perjalanan dari Melaka menuju ke Butterworth, Pulau Pinang.

Menurut beliau, sepasukan lima anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Slim River digerakkan ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan pada jam 12.56 tengah hari.

"Setibanya jentera di lokasi kejadian, didapati sebuah bas ekspres telah terbabas ke dalam longkang di tepi lebuh raya.

"Pemeriksaan mendapati semua penumpang dan pemandu terselamat serta tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya di sini.

Shazlean berkata, pasukan kemudian menjalankan pemeriksaan dan pemantauan lanjut sekitar lokasi bagi memastikan tiada mangsa lain terlibat.

"Semua penumpang yang terselamat kemudiannya meneruskan perjalanan ke destinasi masing-masing dengan menggunakan bas lain.

"Kes diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya dan operasi tamat pada jam 1.56 petang," katanya. -- Sinar Harian




#bas dua tingkat terbabas #masuk longkang #Sungkai #bomba perak