KULIM: Seorang pegawai sumber manusia sebuah kilang di sini maut dalam kemalangan melibatkan tiga buah kenderaan di Jalan Ladang Bukit Selarong, semalam.

Menurut Ketua Polis Daerah Kulim, Supt Sazalee Adam, mangsa dikenal pasti sebagai Muhamad Syafiq Sariff, 33 tahun, beralamat di Taman Damai, Parit Buntar. 

Dalam kejadian yang berlaku pada jam 6.30 petang itu, mangsa maut di tempat kejadian setelah mengalami kecederaan parah di bahagian badan dan kepala.

Kata Sazalee, kejadian dipercayai berlaku apabila bas kilang yang datang dari arah Kulim Hi Tech hilang kawalan lalu memasuki laluan bertentangan dan melanggar dua buah kereta iaitu Produa Bezza dan Produa Axia.

"Pemandu kereta Axia yang berada di belakang kereta Bezza tidak sempat mengelak lalu melanggar bahagian sisi kereta Bezza, sebelum berpusing dan melanggar sebatang pokok di bahu sebelah kiri jalan.

“Akibat rempuhan kuat itu, bahagian hadapan kereta Bezza remuk teruk dan pemandunya tersepit di dalam kereta,” katanya dalam satu kenyataan semalam.


Foto ihsan polis

Foto ihsan polis

Foto ihsan polis

Sazalee memaklumkan polis terpaksa meminta bantuan Bomba dan Penyelamat Kulim-Hitech untuk memotong pintu dan kerusi pemandu bagi mengeluarkan mangsa.

Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Kulim untuk bedah siasat.

Sementara itu, pemandu bas kilang dan pemandu kereta Axia tidak mengalami kecederaan serius.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.