MALAYSIA

Bas persiaran bawa 12 penumpang terbakar di Lebuhraya MEX

Sinar Harian 16/07/2025 | 05:40 MYT
Punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan pihak bomba
SERDANG: Sebuah bas persiaran musnah terbakar dalam kejadian di Kilometer 20.2 Lebuhraya Maju Expressway (MEX) di sini pada pagi Rabu.


Ringkasan AI
  • Sebuah bas persiaran terbakar di Kilometer 20.2 Lebuhraya Maju Expressway (MEX) pada pagi Rabu, dengan kebakaran memusnahkan kira-kira 90 peratus struktur bas.
  • Tujuh anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Seri Kembangan dikejarkan ke lokasi selepas menerima panggilan kecemasan pada jam 8.14 pagi; semua 12 penumpang dan pemandu sempat keluar sebelum pasukan penyelamat tiba.
  • Tiada mangsa terlibat, penumpang dipindahkan ke bas lain untuk meneruskan perjalanan, dan punca kebakaran serta anggaran kerugian masih dalam siasatan pihak bomba.


Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata, seramai tujuh anggota dan pegawai bersama sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Seri Kembangan telah dikejarkan ke lokasi selepas menerima panggilan kecemasan pada jam 8.14 pagi.

“Setibanya di lokasi, kita dapati api sedang marak dan kebakaran telah memusnahkan kira-kira 90 peratus daripada struktur bas.

“Namun kesemua 12 penumpang dan pemandu sempat keluar daripada bas sebelum ketibaan pasukan penyelamat,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Menurutnya, tiada mangsa terlibat dalam kebakaran tersebut dan semua penumpang berjaya diselamatkan.

“Penumpang telah dipindahkan ke sebuah bas lain bagi meneruskan perjalanan ke destinasi mereka,” ujarnya.

Punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan pihak bomba. - Sinar Harian





#bas terbakar #kemalangan bas #Lebuhraya MEX #bas persiaran