Bas terjunam masuk longkang, penumpang cedera, pemandu tidak sedarkan diri

Astro Awani
Mei 20, 2018 21:17 MYT
Bas Rapid Penang terbabas ke laluan bertentangan dan melanggar tiang elektrik di bahu jalan sebelum terjunam ke dalam longkang. - Foto ihsan PDRM
Lima penumpang bas Rapid Penang cedera apabila bas yang dinaiki mereka terbabas ke dalam longkang besar di Jalan Permatang Manggis, dekat sini, pada Ahad.
Dalam kejadian kira-kira jam 7.30 malam itu, bas berkenaan dipercayai dalam perjalanan dari Taman Teluk Air Tawar Indah menghala ke Pekan Kepala Batas.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), ACP Noorzainy Mohd Noor berkata, siasatan awal mendapati bas berkenaan telah terbabas ke laluan bertentangan dan melanggar tiang elektrik di bahu jalan sebelum terjunam ke dalam longkang.
Katanya, penumpang yang mengalami kecederaan di bahagian tangan dan badan ialah Angelin Malar Charles, 24 tahun, Celestine Kogilam Charles, 29 tahun, dan Noor Fatin Azzua, 23 tahun.
Manakala dua lagi penumpang yang mengalami cedera ringan dikenali sebagai Jamilah Wardior dan Nor Hasyimah Mazlan .
Noorzainy berkata, pemandu bas dikenali sebagai Paramasivan, 32 tahun, mengalami kecederaan dan masih tidak sedarkan diri kini menerima rawatan di Hospital Kepala Batas.
Siasatan lanjut sedang dilakukan bagi mengenalpasti punca kemalangan berlaku.
Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
#bas rapid #cedera #kemalangan #Kepala Batas #longkang #pemandu bas #Rapid Penang