PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan di sini hari ini menetapkan 23 Feb tahun depan bagi memutuskan rayuan Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang membatalkan saman pemula beliau berkaitan sabitan kes liwat membabitkan bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Panel tiga hakim terdiri daripada Datuk Lee Swee Seng, Datuk Abu Bakar Jais dan Datuk Supang Lian menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujah peguam Anwar iaitu Datuk Seri Gopal Sri Ram serta Peguam Kanan Persekutuan Suzana Atan bagi pihak kerajaan dan peguam Harvinderjit Singh, yang mewakili peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, sebagai pencelah dalam prosiding yang berlangsung secara maya.

Anwar mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 8 Nov 2017 yang membenarkan permohonan kerajaan untuk membatalkan saman pemula beliau selepas memutuskan kes itu sebagai tidak mempunyai asas dan sebarang bukti untuk menyokongnya.

Saman pemula Anwar, yang difailkan pada 9 Jun 2017 terhadap kerajaan Malaysia, mendakwa beliau tidak mendapat perbicaraan adil dalam prosiding rayuannya berhubung sabitan kes liwat.

Ahli Parlimen Port Dickson itu memohon satu deklarasi bahawa sabitannya oleh Mahkamah Rayuan pada 7 Mac 2014 adalah ultra vires atau di luar kuasa Perlembagaan Persekutuan dan oleh itu, adalah terbatal serta tidak sah.

Beliau juga memohon perintah bahawa keputusan Mahkamah Persekutuan yang mengekalkan keputusan Mahkamah Rayuan juga adalah ultra vires dan oleh itu, terbatal serta tidak sah.

Afidavit Anwar mendakwa Muhammad Shafee menerima RM9.5 juta daripada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk mengetuai pasukan pendakwaan dalam rayuan berhubung sabitan kes liwat beliau.

Sabitan dan hukuman penjara lima tahun terhadap Anwar bagi kesalahan meliwat Mohd Saiful telah dikekalkan oleh Mahkamah Persekutuan. Bagaimanapun, Anwar telah diberikan pengampunan penuh oleh Yang di-Pertuan Agong pada 16 Mei 2018.

Terdahulu, Sri Ram berhujah kes itu sepatutnya dikembalikan ke Mahkamah Tinggi supaya kebenaran mengenai isu pembayaran RM9.5 juta yang kononnya dibuat kepada Muhammad Shafee bagi mengendalikan pendakwaan dalam rayuan kes liwat Anwar dapat diuji.

"Kami berhujah bahawa peluang perlu diberikan kepada kami untuk menguji kesahihan pembayaran ini," katanya sambil menambah Muhammad Shafee perlu disoal balas berhubung isu RM9.5 juta itu.

Sri Ram berhujah perayu (Anwar) tidak mendapat perbicaraan yang adil susulan kegagalan Muhammad Shafee mendedahkan pembayaran itu.

"Pembayaran itu dibuat oleh Perdana Menteri ketika itu Datuk Seri Najib Tun Razak yang mempunyai kepentingan dalam keputusan kes liwat Anwar," katanya.

Suzana pula berhujah Anwar telah mendapat perbicaraan yang adil di Mahkamah Tinggi apabila beliau dibebaskan daripada pertuduhan.

"Berdasarkan keterangan yang dikemukakan kepada Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan telah menangguhkan dapatan Mahkamah Tinggi yang membawa kepada sabitan jenayah itu.

"Sabitan jenayah ini telah dikekalkan oleh Mahkamah Persekutuan. Oleh itu, permohonan ini yang bertujuan untuk membatalkan sabitan jenayah tersebut, adalah tindakan sampingan terhadap penghakiman Mahkamah Rayuan serta Mahkamah Persekutuan dan mahkamah ini tidak mempunyai bidang kuasa untuk berbuat demikian," katanya.

-- BERNAMA