NATIONAL
Batik Air tawar penerbangan harian ke Bangkok dan Kuching dari Subang

Pemandangan waktu malam di Bangkok ini akan dapat dinikmati penumpang sejurus selepas Batik Air mengendalikan penerbangan harian ke Lapangan Terbang Antarabangsa Bangkok Don Mueang dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz, Subang. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Batik Air akan mengendalikan penerbangan harian ke Lapangan Terbang Antarabangsa Bangkok Don Mueang (DMK) dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz, Subang (SZB), mulai 28 Julai ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Batik Air, Datuk Chandran Rama Muthy, menyifatkan pelancaran ini sebagai permulaan kepada transformasi SZB menjadi pintu masuk udara antarabangsa yang lebih mudah diakses dan menjimatkan masa untuk jutaan penduduk bandar.
“Kami bangga menjadi peneraju dalam mengembalikan semula kegemilangan Subang sebagai hab bandar moden. Penerbangan harian ke Bangkok adalah titik tolak yang akan menghubungkan Klang Valley secara terus ke rantau serantau tanpa perlu ke KLIA.
"Dengan lokasi strategik SZB yang hanya mengambil masa singkat dari bandar utama seperti Petaling Jaya, Shah Alam dan Kuala Lumpur, laluan baharu ini menawarkan pengalaman perjalanan yang lebih cepat, selesa dan efisien terutama bagi pengembara kerap dan pelancong hujung minggu,” katanya dalam satu kenyataan.Pada masa yang sama, selain Bangkok, Batik Air turut memperluas jaringan domestiknya dengan pelancaran penerbangan harian ke Kuching, Sarawak secara terus dari Subang.
Tambahannya, syarikat penerbangan itu sudahpun mengendalikan perkhidmatan dari Subang ke Pulau Pinang, Kota Bahru dan Kota Kinabalu.
"Dengan penambahan Bangkok dan Kuching, jumlah destinasi yang ditawarkan dari SZB meningkat kepada lima, dan dijangka terus berkembang.
"Inisiatif ini turut dijangka merangsang kemasukan pelancong dari Thailand dan Malaysia Timur ke Lembah Klang dan Selangor," ujarnya.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami