Batu Gajah akan dinaik taraf menjadi Majlis Perbandaran dalam penggal ini, kata Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baru Paul Yong Choo Kiong.

Beliau berkata setakat ini Batu Gajah yang mempunyai seramai 140,000 penduduk hanya berstatus Majlis Daerah.

"Bagi mencapai status Majlis Perbandaran, daerah ini perlu mempunyai seramai 150,000 penduduk dan sasaran itu mampu dicapai berikutan banyak projek perumahan baharu sedang dibangunkan terutamanya di kawasan Tronoh," katanya.

Yong yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh bercakap kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Bantuan Kotak Harapan kepada 113 penerima yang memerlukan pada Ahad.

Yong berkata selain projek perumahan, usaha lain untuk menambah jumlah penduduk termasuk mempelawa Universiti UCSI membuka kampus di Tronoh.

"Dengan adanya universiti ia sekali gus akan membawa ramai pelabur asing ke Batu Gajah selain menambah banyak peluang pekerjaan kepada penduduk," katanya.

Menjelas lanjut, Yong berkata pertambahan penduduk turut dapat meningkatkan hasil pendapatan Majlis Daerah itu yang sebelum ini memperoleh sebanyak RM19 juta setahun dan untuk mendapat status Majlis Perbandaran hasil yang diperlukan adalah RM20 juta setahun.

Dalam perkembangan lain, Yong berkata pihaknya akan menyediakan kelas tuisyen secara percuma kepada calon Sijil Pelajaran Malaysia daripada keluarga kurang berkemampuan mulai Julai ini.

Sekolah yang terlibat bagi program tuisyen secara percuma itu ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Yuk Kwan, SMK Tiwa, SMK Sultan Yussuf, SMK St. Bernadette's Convent dan SMK Tronoh.

Inisiatif lain yang diambil untuk membantu pelajar kurang berkemampuan adalah dengan pemberian cermin mata percuma juga dijadual bermula Julai dengan kedua-dua program menggunakan peruntukan ADUN, katanya.

-- BERNAMA