[TERKINI] Ketegangan Memuncak: Iran Lancar 9 Serangan ke Atas Israel dalam 24 Jam. Ikuti laporan terkini di sini.
NATIONAL

Bau busuk, kilang proses ayam dikenakan tindakan Penahanan Operasi Kelengkapan

Adie Sufian Zulkefli 22/04/2025 | 02:40 MYT
Menurut Sharifah Zakiah, kilang memproses ayam yang dikenakan tindakan penahanan operasi itu akan dibenarkan beroperasi semula selepas JAS Kedah berpuas hati dengan langkah pembaikan yang diambil. - Foto JAS Kedah
KULIM: Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kedah mengeluarkan notis pemberhentian operasi sementara ke atas sebuah kilang memproses ayam selepas didapati mengeluarkan bau busuk sehingga mengundang ketidakselesaan penduduk di sini.
Pengarahnya Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata, pihaknya menerima aduan awam berhubung perkara itu dan hasil siasatan yang dijalankan mendapati, aduan berkenaan adalah berasas.
Beliau berkata, bau busuk yang dikesan di dalam kawasan premis dipercayai terhasil daripada longgokan sisa sembelihan ayam dan simpanan sangkar ayam.
Katanya, premis tersebut dikenakan tindakan Penahanan Operasi Kelengkapan (POK) di bawah Seksyen 38(1)(a), Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 kerana kegagalan mengadakan Sistem Pengolahan Efluen Perindustrian di dalam premis semasa aktiviti memproses ayam mentah dijalankan.
Katanya, tindakan Penahanan Operasi Kelengkapan (POK) diambil bagi menghentikan pencemaran daripada terus berlaku.
Foto JAS Kedah
“Premis itu diarahkan untuk menghentikan operasi supaya langkah-langkah pembaikan dapat dijalankan dengan segera bagi mengawal pencemaran yang berlaku.
“Notis Arahan Seksyen 31 dan 37 dikeluarkan kepada premis itu untuk tindakan pembaikan dan penyelenggaraan segera dalam tempoh POK terbabit,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sharifah Zakiah berkata, premis tersebut akan dibenarkan beroperasi kembali selepas pihaknya berpuas hati dengan tindakan pembaikan yang diambil.
Foto JAS Kedah
“Pihak industri diingatkan supaya sentiasa mematuhi sepenuhnya Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan Peraturan-Peraturan di bawahnya serta memastikan tidak menyebabkan apa-apa pencemaran kepada alam sekeliling.
“Penyelenggaraan kawasan kerja (housekeeping) juga adalah perlu untuk mengelakkan bau busuk," tambahnya.
Orang ramai diminta melaporkan sebarang aktiviti yang mencemarkan alam sekitar di talian bebas tol 1-800-88-2727 atau email ke aduan_k@doe.gov.my dan melalui portal e-aduan JAS, katanya.
#pencemaran bau #kilang memproses ayam #JAS Kedah #Kulim #Penahanan Operasi Kelengkapan