Bau busuk, ulat dan air tercemar, jadi 'teman' penduduk Kampung Dansangai

Ladang ayam (kiri) yang terletak sekitar 50 meter dari kediaman keluarga Veronica tersebut. - Astro AWANI
TUARAN: Bau busuk menusuk hidung, kehadiran ulat, serta lalat menghantui penduduk Kampung Dansangai Kauluan, di sini sehingga menjejaskan aktiviti harian mereka.
Ringkasan AI
- Bau menyengat, lalat dan ulat dari ladang ayam mengganggu kehidupan harian penduduk Kampung Dansangai Kauluan.
- Air kumbahan dipercayai mengalir ke kawasan rumah dan dewan komuniti, menyebabkan pencemaran dan masalah kesihatan.
- Sungai berhampiran yang mengalir ke Loji Rawatan Air Telibong turut tercemar, menimbulkan kebimbangan terhadap kesihatan dan alam sekitar.
"Kami sangat menderita dengan bau dan air yang kotor. Kami tidak dapat menggunakan air untuk kegiatan harian sebab selalu mengalami masalah gangguan air.
"Ada banyak lalat dan bau yang sangat menyengat. Kami mengalami gatal-gatal kalau lalu air yang berada di jalan ini.
"Bau hari-hari memang begini (busuk). Kadang-kadang sampai sesak nafas pun ada," katanya ketika ditemui Astro AWANI.
Rumah yang didiami empat sekeluarga itu terletak kira-kira 50 meter dari ladang ayam tersebut, yang menempatkan enam kandang ayam.
Berkongsi lanjut, Veronica berkata, setiap bulan mereka terpaksa berdepan dengan kemunculan ulat yang mengalir dari air parit berdekatan rumahnya, dipercayai datang dari ladang berkenaan ketika proses pembersihan dijalankan.
Lebih menjijikkan, dia menjelaskan ulat itu turut merayap naik ke beranda rumah mereka.
"Masalah ini mungkin berlaku disebabkan pemilik ladang ayam itu tiada sistem perparitan yang betul dan sistem untuk kumbahan najis ayam.
"Lagi satu, tiada kolam ataupun macam 'main hole' untuk mereka proses balik air kumbahan najis ayam itu," luah Veronica lagi.
Paling membimbangkan, dia mendakwa sungai berhampiran kawasan itu turut mula tercemar, dan ia mengalir ke Loji Rawatan Air Telibong, yang menjadi sumber utama bekalan air bagi kawasan sekitarnya.
Ujar Veronica, jika pencemaran itu terus dibiarkan, bukan sahaja kesihatan penduduk terjejas, tetapi generasi muda juga akan kehilangan warisan alam yang sepatutnya menjadi kebanggaan kampung.
"Saya berharap kami memiliki tempat yang bersih dan sungai boleh digunakan oleh semua penduduk kampung yang berada di sini sebab kami sangat-sangat memerlukan air untuk aktiviti harian.
"Dewan komuniti ini juga sekarang airnya (dari ladang ayam) mengalir ke dewan ini dan penuh ulat," katanya.
Veronica turut memaklumkan bahawa aduan mengenai masalah itu telah dibuat beberapa kali, dan pihak Jabatan Veterinar serta Jabatan Kesihatan telah turun padang beberapa hari lalu untuk meneliti keadaan di kawasan sekitar.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami