[TERKINI] Gelombang Serangan Baharu Iran-Israel | Trump Timbang Tindakan Ketenteraan AS. Klik untuk laporan penuh.
MALAYSIA

Baucar buku diperluas kepada 400,000 guru - PM Anwar

Bernama 01/06/2025 | 06:20 MYT
Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan baucar buku diperluas kepada lebih 400,000 guru tahun ini sebagai usaha memupuk budaya membaca dalam kalangan rakyat. -Bernama
KUALA LUMPUR: Inisiatif pemberian baucar buku diperluas kepada lebih 400,000 guru untuk tahun ini, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ringkasan AI
  • Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan baucar buku diperluas kepada lebih 400,000 guru tahun ini sebagai usaha memupuk budaya membaca dalam kalangan rakyat.
  • Baucar buku untuk pelajar IPT diteruskan dengan peruntukan sedia ada, namun garis panduan baharu akan diperkenalkan bagi memastikan pembelian buku berkualiti dan berilmiah.
  • Anwar turut memuji PBAKL 2025 yang mencatat 1.8 juta pengunjung, serta menyertai sesi ulasan buku dan menekankan pentingnya ilmu dalam membentuk masyarakat berfikir dan beretika.

Perdana Menteri berkata usaha itu sebagai langkah berterusan kerajaan untuk membudayakan amalan membaca dalam kalangan rakyat terutama pelajar sekolah dan universiti.
Beliau berkata golongan guru mempunyai tanggungjawab besar dalam menyebarkan ilmu selain berperanan memupuk minat pelajar terhadap amalan membaca.
"Tahun ini kita bagi baucar kepada semua guru. Tahun depan kita tengok dulu keadaan ekonomi sebab kita sedang bertarung dengan tarif Donald Trump (Presiden Amerika Syarikat)," katanya.
Anwar berkata demikian ketika berucap merasmikan Penutupan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2025 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur di sini hari ini.
Turut hadir Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Zambry Abd Kadir, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek serta Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka Dr Hazami Jahari.
Selain itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan mengumumkan bahawa pemberian baucar buku kepada pelajar Institusi Pengajian Tinggi masih diteruskan menggunakan peruntukan sedia ada, namun beliau mencadangkan keperluan pengubahsuaian terhadap inisiatif berkenaan.
Beliau berkata garis panduan jelas mengenai pemberian baucar buku diperlukan untuk mengelakkan tuntutan atau pembelian kepada naskhah yang tidak berkualiti.
"Harus ada garis panduan, buku yang dibeli itu tidak semua yang berkualiti dan menggalakkan ilmu," kata beliau.
Perdana Menteri turut memuji penganjuran PBAKL 2025 dengan menyifatkan program itu mampu memupuk amalan membaca dalam kalangan rakyat selain menzahirkan penghargaan kepada ibu bapa serta guru yang membawa anak-anak serta pelajar mendapatkan bahan bacaan pada pesta itu.
Anwar turut menyertai sesi khas dengan mengulas empat buku pilihan beliau, iaitu Kemiskinan Melayu dan Jalan Kepulihannya karya Za'ba; Jejak-jejak di Pantai Zaman (Ungku A. Aziz); Fikrah Siddiq Fadzil: Citra Budaya dan Peradaban Melayu-Islam (Dr Siddiq Fadzil) dan Islam dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu (Syed Muhammad Naquib Al-Attas)
Perdana Menteri juga meluangkan masa meninjau reruai peserta PBAKL.
Bertemakan "Buku: Membaca, Memimpin", PBAKL edisi ke-42 yang berlangsung dari 23 Mei lepas dan berakhir hari ini merekodkan 1.8 juta pengunjung sepanjang 10 hari penganjurannya.
-- BERNAMA
#Anwar Ibrahim #baucar buku #memupuk budaya membaca #PBAKL 2025