KUALA LUMPUR: Baucar Buku MADANI bernilai RM100 akan diteruskan kepada pelajar sekolah menengah di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) dan mahasiswa institusi pengajian tinggi (IPT) di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata inisiatif itu tetap diteruskan meskipun kerajaan berdepan cabaran ekonomi susulan konflik di rantau Asia Barat ketika ini.
"Dampak daripada serangan yang dimulakan oleh rejim Zions dengan bantuan Amerika Syarikat itu menyebabkan ekonomi kita di Malaysia turut terjejas, jangan kita ambil remeh.
"Saya minta semua kementerian termasuk KPM dan IPT, rayulah macam mana pun, mesti ada pengurangan perbelanjaan, mustahil daripada semua dana itu tiada yang boleh dijimatkan.
"Kita kena tahu masalah, perbaiki kelemahan, kurangkan kos yang perlu dan pada waktu sama menetapkan keutamaan.
"Soal penumpuan tentang mutu pendidikan, kemudahan asas pendidikan sama ada di sekolah atau universiti, Insya-Allah kita akan teruskan tanpa gangguan," katanya ketika ucapan perasmian Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2026, di sini, pada Jumaat.
Sehubungan itu, Anwar berkata beliau membuat keputusan untuk meneruskan program Baucar Buku MADANI demi memastikan budaya membaca terus dipupuk dalam kalangan generasi muda.
“Soal program Baucar Buku MADANI ini saya tiada pilihan. Saya beritahu Kementerian Kewangan bahawa ekonomi negara menghadapi kesukaran, tetapi tentang buku dan pendidikan harus tetap diberikan keutamaan,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Anwar turut memberi jaminan bahawa kerajaan masih mampu mengurus cabaran ekonomi semasa dengan baik termasuk memastikan bekalan tenaga negara kekal stabil.