Skip to main content

Malaysia

Baucar pemeriksaan kesihatan bantu tingkat keupayaan, keselamatan pemandu lori

Michael Loo Leep Chye berkata, pemeriksaan kesihatan penting bagi memastikan pemandu dalam keadaan sihat ketika masih bertugas mengendalikan kenderaan berat selain mengurangkan risiko kecemasan perubatan seperti serangan jantung. - Gambar Bernama
Michael Loo Leep Chye berkata, pemeriksaan kesihatan penting bagi memastikan pemandu dalam keadaan sihat ketika masih bertugas mengendalikan kenderaan berat selain mengurangkan risiko kecemasan perubatan seperti serangan jantung. - Gambar Bernama

Advertisement

KANGAR: Inisiatif kerajaan menyediakan baucar pemeriksaan kesihatan kepada pemandu kenderaan perdagangan menerusi Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) di bawah Belanjawan 2027 dapat membantu meningkatkan keselamatan jalan raya menerusi pengesanan awal risiko penyakit.

Pengerusi Persatuan Pengusaha-Pengusaha Lori Tipper Malaysia, Datuk Michael Loo Leep Chye berkata, pemeriksaan kesihatan penting bagi memastikan pemandu dalam keadaan sihat ketika masih bertugas mengendalikan kenderaan berat selain mengurangkan risiko kecemasan perubatan seperti serangan jantung.

“Pemeriksaan kesihatan membolehkan risiko penyakit dikesan lebih awal. Jika seseorang pemandu mengalami serangan jantung ketika memandu tanpa mengetahui keadaan kesihatannya, ia boleh membahayakan pengguna jalan raya lain,” katanya kepada Bernama.

Loo yang juga Pengerusi Persatuan Pengusaha-Pengusaha Lori Tipper Kedah dan Perlis berkata, baucar itu menggalakkan pemandu menjalani pemeriksaan kesihatan tanpa terlalu dibebani kos, selain membantu pengusaha lori dan syarikat logistik mengurangkan perbelanjaan berkaitan.

Beliau berkata, inisiatif itu amat bermakna kepada pemandu yang berpendapatan rendah memandangkan tahap kesihatan yang baik sebahagian daripada keperluan penting dalam menjalankan tugas.

Loo yang mengalu-alukan langkah itu juga berharap pelaksanaan inisiatif yang membantu kebajikan golongan tersebut yang dianggarkanya sebanyak lebih 7,000 pengusaha dan pemandu lori tipper di Semenanjung Malaysia, dapat direalisasikan seperti perancangan.

Dalam pembentangan Belanjawan 2027 pada 9 Okt, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, PERKESO akan menyediakan baucar pemeriksaan kesihatan kepada pemandu kenderaan perdagangan bagi mengesan risiko kesihatan yang boleh menjejaskan keupayaan mereka memandu.

Sementara itu, pemandu lori treler kontena dari Chuping, Padang Besar, Nor Hisham Baharom, 50, yang berpengalaman 30 tahun, menyambut baik inisiatif tersebut kerana memudahkan pemandu mendapatkan pemeriksaan kesihatan.

Nor Hisham berkata, pemeriksaan berkala penting bagi memastikan pemandu mampu mengendalikan kenderaan berat dengan selamat yang membantu dalam melindungi diri dan pengguna jalan raya lain.

Seorang lagi pemandu lori kargo dari Seriab di sini yang mahu dikenali sebagai Mizan, 47, berkata, baucar itu mencerminkan keprihatinan kerajaan terhadap kebajikan pemandu yang memikul tanggungjawab besar ketika bertugas.

Lelaki yang mempunyai pengalaman memandu lori kargo lebih 20 tahun itu berkata kesibukan bekerja kadangkala menyebabkan pemandu kurang memberikan perhatian kepada kesihatan sendiri.

“Dengan adanya inisiatif ini, sekurang-kurangnya pemandu mempunyai peluang untuk menjalani pemeriksaan dan mengetahui keadaan kesihatan sendiri,” katanya.

Mizan berkata pengesanan awal risiko penyakit membolehkan pemandu mendapatkan pemeriksaan lanjut dan mengambil langkah sewajarnya sebelum masalah kesihatan menjejaskan keupayaan mereka mengendalikan kenderaan.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement