Bawa masuk pekerja asing lepas yang haram diusir - Zahid

Harits Asyraf Hasnan
Jun 29, 2015 23:21 MYT
Ahmad Zahid berharap supaya badan-badan bukan kerajaan (NGO) serta agensi-agensi pekerjaan memahami hasrat kerajaan pada masa sama tidak mempolitikkan isu ini. - Gambar Fail
Usaha untuk membawa masuk pekerja asing dari Bangladesh seramai 1.5 juta orang hanya akan dilakukan selepas menghantar pulang pekerja asing tanpa izin yang berada di negara ini.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang mengulangi pendirian beliau itu menegaskan kemasukan pekerja asing secara haram harus diketepikan.
"Sebahagian daripada mereka (yang masuk secara haram) meninggal di laut, meninggal kerana kebuluran atau berpenyakit serta pelbagai faktor lain.
"Jadi atas dasar perikemanusiaan maka sistem pengambilan pekerja dari Bangladesh ini dilakukan mengikut tahap," jelas Ahmad Zahid pada sidang media semasa menghadiri Majlis Iftar Perdana bersama rakyat Palestin di Malaysia pada Isnin.
BACA: 1.5 juta pekerja Bangladesh akan dibawa masuk ke Malaysia - Ahmad Zahid
BACA: Pekerja Bangladesh dibawa masuk selepas pekerja haram diusir dari Malaysia
BACA: Penghantaran pulang pekerja asing beri kesan negatif - MEF
Ahmad Zahid pada masa sama turut berharap supaya badan-badan bukan kerajaan (NGO) serta agensi-agensi pekerjaan memahami hasrat kerajaan pada masa sama tidak mempolitikkan isu ini.
"Sebelum program ini berjalan, pekerja-pekerja dari semua negara terutama dari Bangladesh yang tiada dokumen atau melebihi tempoh penempatan mereka di sini selain yang diseludup masuk dengan menggunakan kad UNHCR (Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Orang Pelarian) dan sebagainya, maka kita merasakan bahawa cara-cara yang tidak mengikut saluran yang benar ini harus diketepikan dan ini adalah bukannya tambahan kepada apa yang sedia ada," tegas Zahid.
Jelasnya, mengikut statistik, 60 peratus pelarian yang ditahan sebelum ini yang kononnya etnik Rohingya dari Myanmar sebenarnya adalah warganegara Bangladesh.
Selain itu, pihaknya juga telah berunding dengan UNHCR untuk mengambil tindakan jika terdapat antara pekerja asing yang menggunakan kad UNHCR palsu semata-mata ingin pulang ke negara asal.
Justeru, beliau yakin bahawa inisiatif ini harus dilihat secara holistik dengan tidak mengenepikan pekerja-pekerja dari negara sumber mengikut keperluan dan kemahiran yang diperlukan.
Selain itu, Ahmad Zahid juga telah mengadakan beberapa perbincangan dengan negara-negara sumber melalui duta-duta di Malaysia untuk mengeluarkan dokumen perjalanan satu hala bagi memudahkan pekerja asing tanpa izin pulang ke negara asal.
Khamis lalu, Ahmad Zahid berkata kira-kira 1.5 juta pekerja dari Bangladesh akan dibawa masuk ke Malaysia secara berperingkat dalam tempoh tiga tahun bagi memenuhi permintaan majikan daripada pelbagai sektor terutama sektor perladangan, pembinaan, perkilangan dan perkhidmatan.
#Bangladesh #pati #pendatang tanpa izin #Zahid Hamidi
;