Malaysia berharap kerajaan negara negara lain mencontohi Indonesia, Nepal dan Bangladesh yang membawa pulang pendatang tanpa izin (PATI) ditahan di negara ini yang disahkan negatif COVID-19.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata Kementerian Luar telah menghantar nota rasmi kepada semua kedutaan yang PATI dari negara itu berada di depoh tahanan imigresen Malaysia.

"Kerajaan berterima kasih kepada Indonesia, Nepal dan Bangladesh di atas persetujuan cadangan menghantar pulang rakyat mereka yang disahkan negatif COVID-19," katanya pada sidang akhbar di Putrajaya di sini, pada Khamis.

Dalam perkembangan berasingan, Ismail Sabri berkata, 327 pendatang asing tanpa izin (PATI) dan 41 tekong ditahan pasukan keselamatan ketika cuba memasuki sempadan negara secara haram di lorong-lorong tikus baru-baru ini.

Katanya, turut ditahan adalah tujuh individu yang disyaki penyeludup serta tujuh buah kapal.

Beliau menegaskan kerajaan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak dan akan mengambil tindakan tegas jika mereka cuba memasuki sempadan negara secara haram.

"Kita memang serius dalam mengawal sempadan negara terutamanya di lorong tikus sama ada mengusir atau menahan warga asing.

"Kita terpaksa bertindak tegas memandangkan kes COVID-19 di negara-negara jiran agak serius dan sekiranya mereka masuk, saya khuatir mereka akan menghasilkan kluster baharu iaitu Kluster Import," ujarnya.