Mufti Perak dan Mufti Kelantan berpendapat kempen membayar zakat secara langsung kepada golongan yang layak menerima bantuan zakat boleh mengikis keyakinan umum terhadap institusi pentadbiran Islam di negara ini.

Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria mengingatkan umat Islam bahawa membayar zakat secara terus kepada asnaf tanpa melalui majlis agama Islam hukumnya tidak sah kerana kerajaan sudah menubuhkan institusi yang bertanggungjawab untuk menguruskan kutipan zakat.

Harussani bimbang masyarakat Islam akan pincang sekiranya mereka terpengaruh dengan hasutan supaya mengetepikan majlis agama Islam dan membayar terus kepada asnaf.

“Maka itu saya sekali lagi mengingatkan membayar zakat kepada asnaf dengan bersendirian tidak sah hukumnya dan wajib dia bayar kepada majlis agama kerana kerajaan telahpun menubuhkan satu institusi yang bertanggungjawab mengenai kutipan zakat,” katanya kepada Astro Awani di pejabatnya di Ipoh.

Harussani diminta mengulas kempen yang sedang berlegar di media sosial yang menyarankan orang ramai supaya membayar zakat secara langsung kepada asnaf dan bukannya kepada pihak berwajib.

Kempen yang tidak diketahui asal-usulnya itu berupa poster dengan tulisan dalam bahasa Inggeris yang bermaksud: “Bayar terus zakat anda kepada lapan asnaf. Saya tidak percayakan duit saya dengan pusat zakat.”

Lapan penerima zakat atau asnaf yang ditetapkan dalam Islam ialah fakir, miskin, amil, muallaf, hamba (riqab), orang berhutang, orang yang berjuang di jalan Allah dan musafir.


Mengulas isu yang sama, Mufti Kelantan, Datuk Mohamed Shukri Mohamed berkata walaupun memberikan zakat kepada penerima tanpa melalui amil hukumnya harus, Allah memerintahkan supaya zakat diamanahkan kepada pemerintah.

“Ini gerakan berterusan oleh pihak yang tidak senang dengan kemajuan Islam… gerakan menimbulkan keraguan di kalangan umat Islam terhadap institusi agama. Gerakan ini seumpama nak membina umat Islam walhal sebenarnya ia nak meruntuh umat Islam,” katanya di Kota Bharu.

Mohamed Shukri menjelaskan membayar zakat kepada pemerintah adalah sebahagian daripada tuntutan taat kepada pemerintah yang diwajibkan dalam Islam.

Mengikut Perlembagaan Persekutuan, urusan zakat terletak di bawah kuasa negeri dan ditadbir oleh Majlis Agama Islam Negeri-Negeri. Beberapa negeri antaranya Wilayah Persekutuan, Pahang, Pulau Pinang, Selangor dan Melaka telah mengkorporatkan bidang kuasa itu untuk urusan yang lebih profesional dan cekap.