Bayaran BR1M pada bulan Ramadan bantu rakyat buat persiapan Hari Raya - Najib

Abd Razak Mohd Ali
April 18, 2018 06:56 MYT
Najib (tengah) mendengar penerangan mengenai Projek PR1MA dari Pegawai Eksekutif Perbadanan PR1MA Malaysia Datuk Abdul Mutalib Alias (kiri) semasa melihat replika struktur rumah PR1MA di Teluk Intan. - Foto Bernama
Bayaran terbaru Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang dijangka dibuat dalam bulan Ramadan ini akan membantu penerima membuat persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri.
Jumlah bayaran itu ialah RM800 iaitu tambahan RM400 seperti yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Perdana Menteri berkata, BR1M terbukti banyak membantu rakyat sehingga pembangkang turut memasukkannya ke dalam manifesto pilihan raya mereka.
"Dulu kata BR1M ini tak baik, dedak, rasuah mula-mula kata begitu. Akhirnya dalam manifesto (pembangkang) ada pula BR1M.
"Selama ini pembangkang kutuk program BR1M, tiba-tiba tidak malu, muka tebal, masuk dalam manifesto mereka kerana orang tahu BR1M bantu keluarga," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di majlis pecah tanah projek PR1MA di Teluk Intan, Perak di sini pada Rabu.
Najib memberi jaminan bahawa Kerajaan Barisan Nasional akan terus menjaga kebajikan rakyat.
Katanya, rakyat tidak mahu lagi mendengar cakap-cakap yang sentiasa berubah-ubah, seperti yang dilakukan Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr Mahathir Mohamad.
"Macam kedai roti, dalam dua minggu, empat kali tukar, mula-mula kata kedai dia, lepas tu bukan kedai dia, kata dah jual kedai dia, akhir kata mengaku kedai dia, empat kali dalam masa dua minggu berubah," katanya.
Walaupun kedai roti The Loaf milik Dr Mahathir ditutup, kononnya kerana ekonomi negara tidak baik, banyak kedai roti seperti Roti Boy dan Gardinia semakin maju, malah kedai Rojak Mastan Ghani di Teluk Intan terus menerima ramai pelanggan.
Sehubungan itu, ujar beliau, rakyat dinasihatkan supaya memilih wakil rakyat dan kerajaan yang boleh memberi manfaat kepada rakyat.
#Bantuan Rakyat 1 Malaysia #BR1M #Hari Raya Aidilfitri #Najib Razak #Perdana Menteri #Ramadan