KUALA LUMPUR: Bayaran manfaat skim mySalam bagi hospitalisasi dan penyakit kritikal telah meningkat kepada RM76.9 juta atau lebih enam kali ganda pada 2020 dan seterusnya meningkat kepada RM120.9 juta untuk tempoh 11 bulan sehingga November 2021.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata mySalam juga telah mengeluarkan RM119.6 juta sehingga November 2021 atas tuntutan berkaitan COVID-19.

Beliau berkata pada 2019, skim tersebut telah membantu 4.3 juta individu B40 dengan bayaran manfaat berjumlah RM11.5 juta.

"Di samping itu, dalam Bajet 2022, skim mySalam akan diperluas sehingga dua kali ganda bagi merangkumi lebih daripada sembilan juta individu.

"MySalam juga telah ditambah baik dengan peruntukan RM50 juta bagi bantuan peranti perubatan kepada B40," katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2022 bagi Kementerian Kewangan di persidangan Dewan Negara pada Selasa.

Beliau berkata kerajaan akan terus memantau prestasi dan menambah baik skim tersebut berdasarkan kemampuan dana mySalam.

"Umumnya, piagam pelanggan memproses tuntutan ialah 10 hari bekerja. Bagi mengurangkan insiden kelewatan dan meningkatkan kesedaran, bilangan kakitangan ditingkatkan di samping menyediakan kaunter khas di hospital utama setiap negeri," katanya.

Tengku Zafrul berkata mengenai keselamatan skim itu, data penerima skim mySalam yang dikendalikan oleh Great Eastern Takaful Bhd hanya akan digunakan bagi tujuan skim tersebut dan tidak dibenarkan untuk kegunaan lain seperti menjual produk insurans atau takaful.

"Keselamatan data penerima mySalam adalah serius dan tertakluk kepada Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 dan Akta Rahsia Rasmi 1972," katanya.

Beliau berkata mengenai Baucar Perlindungan Tenang, kesemua lapan juta penerima Bantuan Prihatin Rakyat layak menerima baucar bernilai RM50 yang telah diumumkan dalam Bajet 2021 untuk manfaat golongan B40.

"Sehingga 15 Dis, hampir 900,000 orang daripada golongan B40 telah menebus baucar ini dengan nilai hampir RM45 juta melalui pembelian insurans atau takaful yang didaftar sebagai produk Perlindungan Tenang.

"Umumnya, program ini melibatkan 16 syarikat insurans dan pengendali takaful di bawah Persatuan Insurans Am Malaysia, Persatuan Insurans Hayat Malaysia dan Persatuan Takaful Malaysia," katanya.

Tengku Zafrul berkata semakan kelayakan untuk menuntut baucar ini boleh dibuat dengan melayari www.myPTV.my atau mengunjungi mana-mana syarikat insurans atau pengendali takaful yang menawarkan produk Perlindungan Tenang.

Bagi pemohon yang layak, katanya penebusan baucar boleh dibuat dengan melayari www.mycoverage.my atau pembelian terus di kaunter.

"Produk Perlindungan Tenang merangkumi pelbagai jenis perlindungan termasuk perlindungan untuk insurans hayat, penyakit kritikal, hospitalisasi, hilang upaya, kebakaran dan kerosakan isi rumah akibat banjir," katanya.

Beliau berkata Baucar Perlindungan Tenang juga telah ditambah baik dan ditingkatkan nilai baucar kepada RM75 bagi 2022, dengan golongan B40 boleh menebuskan baucar tersebut bermula 1 Jan, 2022 dengan syarikat insurans dan pengendali takaful yang berdaftar.

-- BERNAMA