Bayaran pesakit rujukan kerajaan di IJN perlu diselaraskan - Subramaniam

Dania Zainuddin
September 29, 2017 08:20 MYT
Kaedah penetapan bayaran yang digunakan di IJN perlu diubah supaya tiada aduan mengenai kos rawatan yang tinggi berbanding kos di hospital kerajaan lain yang menyediakan perkhidmatan rawatan sama. - Gambar fail
Kementerian Kesihatan berhasrat untuk menyelaraskan bayaran rawatan pesakit rujukan kerajaan di Institut Jantung Negara (IJN).
Menterinya Datuk Seri S. Subramaniam berkata, pihaknya dalam peringkat perbincangan dengan IJN supaya kos bayaran perkhidmatan rawatan dapat ditetapkan setiap tahun.
"Saya sudah mengarahkan supaya kami berubah ke arah satu skim di mana Kementerian Kesihatan menjadi pembeli perkhidmatan di IJN, dengan kos yang sudah dipersetujui kedua-dua pihak.
"Sebelum ini kami menghantar pesakit kami ke IJN, dan selepas rawatan kami akan membayar bil rawatan mereka di IJN. Kini, kami perlu berbincang pada awal tahun, dan menetapkan satu bayaran.
"Contohnya jika IJN perlu laksanakan pembedahan pintasan jantung, kami hanya boleh membayar beberapa ribu ringgit, dan adakah itu boleh dipersetujui?" katanya ketika berucap di perasmian Hari Penyelidikan IJN 2017 di Kuala Lumpur, hari ini.
Katanya, kaedah penetapan bayaran yang digunakan sebelum ini perlu diubah supaya tiada aduan mengenai kos rawatan yang tinggi berbanding kos di hospital kerajaan lain yang menyediakan perkhidmatan rawatan sama.
#bayaran #hospital kerajaan #IJN #Institut Jantung Negara #kos rawatan #pesakit rujukan kerajaan #rawatan #S Subramaniam