KUALA LUMPUR: Bayaran zakat tidak membebankan kepada umat Islam kerana hanya 2.5 peratus sahaja daripada jumlah harta atau pendapatan yang perlu dizakatkan.

Pengerusi Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP), Datuk Seri Syed Ali Syed Abbas Al-Habshee berkata, selebihnya 97.5 peratus pendapatan masih lagi boleh dibelanjakan.

"Apalah sangat 2.5 peratus daripada 100 peratus rezeki yang kita dapat daripada Allah?

"Orang Islam yang mempunyai pendapatan atau harta yang melebihi nisab (RM20,299) dan cukup haul wajib mengeluarkan 2.5 peratus daripadanya untuk dizakatkan.

"Sebagai contoh, pendapatan tahunan RM30,000 didarab 2.5 peratus, zakat yang wajib dikeluarkan adalah RM750 tahunan atau RM62.50 bulanan," ujarnya dalam catatan di laman Facebooknya pada Ahad.

 
Sumber Facebook permalink.php?story_fbid=2809262209390714&id=100009208886063"><


Syed Ali mengakui memikul tugas berat sepanjang sembilan bulan menjadi Pengerusi PPZ-MAIWP.

"Saya akui ini merupakan tanggungjawab yang berat bagi memastikan kutipan zakat di Wilayah Persekutuan terus meningkat supaya dapat disalurkan kepada asnaf-asnaf yang memerlukannya.

"Sepanjang tempoh ini juga saya sering menerima pelbagai persoalan mengenai zakat dari rakan dan
kenalan saya dan pastinya mereka ini adalah dari golongan yang layak dan wajib menunaikan
zakat.

"Ada juga di antara mereka tidak tahu bahawa banyak sebenarnya manfaat yang kita perolehi apabila menunaikan zakat, khususnya di PPZ-MAIWP," katanya.

Tambahnya, zakat memperkuatkan keimanan dan mendekatkan diri kepada Allah selain menambah rezeki serta mendapat keberkatan.

"Ia juga dapat membersihkan sumber pendapatan mengikut hukum syarak yang akan memberi ketenangan hati dan kebahagiaan dalam hidup.

"Selain itu, ia membentuk keluarga yang lebih harmoni dan bahagia dengan amalan berzakat serta bersedekah.

"Zakat turut membuktikan kehebatan dalam organisasi selain menjauhkan diri daripada sikap sombong dan bongkak kerana sentiasa bersyukur bahawa rezeki itu datangnya daripada Allah," ujarnya.

Bagaimanapun, jelasnya, ada yang beranggapan komitmen mereka tinggi dan pendapatan tidak akan mencukupi jika mengeluarkan zakat.

"Kerana itu saya menyeru kepada mereka yang bekerja atau mencari nafkah di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur agar membayar zakat di PPZ-MAIWP.

"Saya juga merayu agar pekerja termasuk penjawat awam dan swasta dapat membayar zakat menerusi kaedah potongan gaji manakala pihak syarikat atau majikan juga digalakkan membayar zakat mereka menerusi PPZ-MAIWP," katanya.

Tambah Syed Ali, pelepasan cukai pendapatan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) juga akan diberi kepada mereka yang menunaikan zakat.

"Rugi kalau tidak gunakan peluang ini. Contohnya, cukai yang dikenakan RM1,000, zakat yang dibayar RM500, jadi jumlah cukai yang perlu dibayar RM1,000-RM500 = RM500," ujarnya.

Katanya lagi, bayaran zakat boleh dilakukan secara bayaran bulanan melalui Skim Potongan Zakat Bulanan.

"Manakala salah satu skim bagi membantu mengurangkan rasa terbeban menunaikan zakat ialah secara 'lump sum'.

"Pembayar zakat PPZ-MAIWP dilindungi dengan Skim Kafalah Muzakki iaitu khairat kematian yang akan disumbangkan kepada waris pembayar zakat sekiranya berlaku kematian ke atas pembayar zakat.

"Skim Wakalah pula memberi peluang kepada pembayar zakat untuk mengagihkan sendiri wang zakat kepada asnaf memerlukan," jelasnya.

Katanya, majikan yang memohon Wakalah boleh memanfaatkan wang zakat kepada kakitangan yang memerlukan.