Bayi 10 bulan Naufal Amsyar selamat dikebumikan, diiringi tangisan

Astro Awani
Julai 22, 2018 11:33 MYT
Bayi malang itu dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kontang, Tangkak di sini sekitar jam 7 petang tadi. - Gambar fail
Jenazah Naufal Amsyar Nabil fikri, 10 bulan yang meninggal dunia akibat mengalami kecederaan parah di kepala selepas dipercayai terjatuh dari buaian di rumah pengasuhnya, dikebumikan lewat petang tadi.
Bayi malang itu dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kontang, Tangkak di sini sekitar jam 7 petang tadi.
Sebelum itu, jenazah Naufal Amsyar yang selesai dibedah siasat di Hospital Pakar Sultanah Fatimah Muar (HPSF) kira-kira 3.30 petang tadi dibawa ke surau Rumah Pangsa Jalan Ong Siong, Tangkak dua jam kemudian untuk disembahyangkan.
Jenazah bayi malang itu dipangku bapanya, Nabil Fikri Anwar, 28 tahun ke tanah perkuburan bersama ibunya Noraziqah Rohmat, 23 tahun.
BACA: 'Saya tagih kejujuran pengasuh, demi keadilan untuk anak' - Bapa Naufal Amsyar
Selain ahli keluarga terdekat, lebih 200 orang terdiri daripada sahabat handai, penduduk setempat dan orang ramai hadir ke tanah perkuburan bagi memberikan penghormatan terakhir kepada bayi syurga itu.
Selasa lalu, bayi malang terbabit dimasukkan ke HPSF setelah dirujuk dari Hospital Tangkak apabila terdapat kesan lebam di dahi kiri, pendarahan mata selain retak tempurung kepala yang serius.
Selepas empat hari menerima rawatan, Naufal Amsyar menghembuskan nafas terakhirnya sekitar 9 pagi semalam.
Bayi itu dipercayai terjatuh dari buaian sebanyak dua kali sebelum ini ketika berada di rumah pengasuh di Taman Sialang, Tangkak.
Ekoran itu, polis berjaya mendapat perintah menyambung reman terhadap pengasuh berusia 35 tahun selama tiga hari bermula esok bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 31(1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001.
#bayi #jenazah #Kanak-kanak #kebumi #meninggal dunia #Muar #Naufal Amsyar #siasatan #Tangkak