Terkini: Kes Kematian Zara Qairina – Ikuti Perkembangan di Sini
MALAYSIA

Bayi 11 bulan nyaris jadi tebusan perompak warga Vietnam

Sinar Harian 09/08/2025 | 15:15 MYT
Bayi berusia 11 bulan nyaris dijadikan tebusan oleh seorang lelaki warga Vietnam yang cuba melarikan diri selepas dikesan mencuri di sebuah pasar raya di Butterworth. - Sinar Harian
BUTTERWORTH: Bayi berusia 11 bulan nyaris dijadikan tebusan oleh seorang lelaki warga Vietnam yang cuba melarikan diri selepas dikesan mencuri beberapa makanan laut di sebuah pasar raya, di sini pada tengah hari Sabtu.

Dalam kejadian jam 12.45 tengah hari itu, suspek dikatakan bertindak menarik bayi lelaki berkenaan sambil memegang pisau ketika dia dikejar sekumpulan pengawal keselamatan dan pekerja pasar raya terbabit.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Anuar Abd Rahman berkata, pada mulanya suspek telah ditangkap selepas didapati cuba membawa keluar makanan laut yang telah ditimbang tanpa membuat bayaran.

Bagaimanapun, menurutnya, lelaki itu berjaya melepaskan diri dan menarik bayi lelaki yang sedang dikendong ibunya.

“Berlaku pergelutan antara suspek, mangsa dan orang awam di tempat kejadian.

“Suspek berjaya ditangkap oleh pengadu dengan bantuan beberapa pekerja serta orang awam di dalam pasar raya berkenaan sebelum diserahkan kepada polis yang tiba di lokasi kejadian tidak lama kemudian,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Sabtu.

Anuar berkata, suspek akan dibawa ke Mahkamah Butterworth pada Ahad bagi mendapatkan perintah reman.

Katanya, siasatan akan dilakukan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri dalam bangunan dan Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan.

Selain itu, suspek juga akan disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah.

Terdahulu, tular video insiden berkenaan di laman sosial termasuk detik mencemaskan apabila bayi lelaki berkenaan cuba dilarikan oleh suspek.

Difahamkan, beberapa orang awam dan pengawal keselamatan pasar raya itu turut mengalami kecederaan ketika bergelut dengan suspek.

- Sinar Harian



#Polis Daerah Seberang Perai Utara #lelaki warga Vietnam #tarik bayi #mencuri di pasar raya