Bayi antara dua maut dalam kemalangan di LPT2

Astro Awani
Februari 18, 2015 15:54 MYT
Antara kenderaan yang terlibat dalam kemalangan hingga mengakibatkan kematian dua orang termasuk bayi berusia setahun. - Foto Astro AWANI
Dua maut termasuk seorang bayi berusia setahun apabila kereta yang mereka naiki terbabit dalam kemalangan di Kilometer 384.1, Lebuhraya Pantai Timur (LPT2) berhampiran Ajil, Hulu Terengganu.
Bayi terbabit, Zill Amsyar Mohd Zikrillah yang parah di bahagian kepala dan muka meninggal dunia di tempat kejadian, manakala rakan ayahnya Shahrul Yusof, 22, tahun meninggal dunia di Hospital Hulu Terengganu.
Kejadian kira-kira jam 3 petang itu dipercayai berlaku apabila kereta yang dipandu Mohd Zikrillah Mohd Rawi, 25, dari Indra Sempurna, Kuantan dipercayai hilang kawalan sebelum merempuh penghadang jalan.
Kemalangan mengakibatkan enjin kenderaan yang dipandunya itu tercampak ke tengah jalan.
Sebuah kereta Proton Putra yang melalui kawasan itu kemudiannya merempuh enjin terbabit dan terbabas lalu melanggar penghadang jalan.
Ketika kejadian, Mohd Zikrillah bersama anak, adik ipar dan rakannya dalam perjalanan pulang untuk menghadiri perkahwinan rakannya di kampungnya di Bela'oh, Jerteh.
Mohd Zikrillah dan adik iparnya Yusnaidi Zulkifli, 21, cedera parah di kepala dilaporkan kritikal dan kini berada di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu untuk rawatan lanjut.
Pemandu kereta Proton Putra, Ahmad Zamzuri Abdullah, 28, mengalami kecederaan di kepala sementara rakannya Ahmad Yusri Abdullah, 28, hanya cedera ringan.
Mereka bekerja di Johor Bahru dalam perjalanan pulang ke Kampung Maras, Terengganu sempena cuti Tahun Baru Cina
Timbalan Ketua Polis Hulu Terengganu, Asisten Superintendan Mohd Rosli Mohd Amir ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut.
Jenazah kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Hulu Terengganu untuk siasatan lanjut.
#ajil #bayi #kemalangan #Lebuhraya Pantai Timur #LPT2 #maut