Bayi baru lahir ditinggalkan atas reban ayam

Fadhil Selihin
Jun 12, 2023 11:01 MYT
Seorang anggota polis menunjukkan lokasi reban ayam dimana seorang bayi lelaki yang baru dilahirkan ditinggalkan. - Foto PDRM
LAHAD DATU: Seorang bayi lelaki yang baru dilahirkan ditemui ditinggalkan di atas sebuah reban ayam di kawasan Kampung Jawa, di sini awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu, ACP Rohan Shah Ahmad berkata, kejadian berkenaan disedari oleh
seorang lelaki warga tempatan yang berumur 51 tahun yang merupakan penduduk kampung berkenaan semasa meninjau kawasan reban ayam miliknya pada sekitar jam 6.30 pagi.
Susulan itu, sepasukan pegawai polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Lahad Datu telah ke lokasi kejadian bagi menjalankan siasatan dan bayi lelaki tanpa pakaian seberat tiga kilogram kemudiannya telah dibawa ke Hospital Lahad Datu bagi mendapatkan rawatan.
Menurut beliau, kes kini disiasat di bawah Seksyen 317 Kanun Keseksaan dan jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun atau di denda atau kedua-duanya sekali.
Pihak polis sedang berusaha mengesan suspek sebenar dalam kejadian ini dan orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian boleh menghubungi terus ke talian IPD Lahad Datu 089-881255 atau Pegawai Penyiasat kes Inspektor Sophia Thomas Kasau di talian 013-9392505.
#bayi baru lahir #Lahad Datu #reban ayam #Bayi ditinggalkan