Bayi cukup sifat ditemui mati, terbaring kaku di tempat sampah

Radhi Muslim
Mac 13, 2019 11:19 MYT
Polis berkata mayat berkenaan dilaporkan masih memiliki tali pusat.
Mayat seorang bayi lelaki yang dipercayai dibuang telah ditemui di sebuah tapak pelupusan sampah dekat Bukit Gemuk, di sini pada Rabu.
Ketua Polis Daerah Tawau Asisten Komisioner Fadil Marsus memaklumkan, mayat bayi tersebut ditemui seorang pemungut sampah dalam keadaan kebiruan dan terbaring kaku bersama sampah-sarap.
Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 pagi itu, Fadil berkata mayat berkenaan dilaporkan masih memiliki tali pusat.
“Hasil pemeriksaan awal mendapati, jantina mayat itu adalah lelaki dan disyaki sudah meninggal tiga hari lepas.
“Mayat sudah dihantar ke bilik mayat Hospital Tawau untuk tindakan lanjut," katanya dalam satu kenyataan media pada Rabu.
Tambahnya, setakat ini tiada saksi yang melihat kejadian dan siasatan masih diteruskan di bawah Seksyen 318 Kanun Keseksaan.
#buang bayi #Hospital Tawau #Ketua Polis Daerah Tawau #mayat bayi di tapak pelupusan #pemungut sampah #Seksyen 318 Kanun Keseksaan