Bayi lelaki dijumpai dibuang dalam tong sampah di Pandan Indah

Sinar Harian
Mei 25, 2019 08:48 MYT
Keadaan bayi lelaki yang ditemukan di dalam tong sampah. -Sinar Harian
Seorang pengawal keselamatan menemui bayi lelaki yang baharu dilahirkan dipercayai dibuang di dalam tong sampah di hadapan sebuah kedai serbaneka di Pandan Indah di sini, pagi tadi.
Timbalan Ketua Polis Daerah Ampang, Superintenden Mohd Zaid Hassan berkata bayi yang masih bertali pusat, berbalut tuala ditemui pada jam 6.50 pagi.
"Pengawal keselamatan memaklumkan dia menemui bayi itu ketika selesai membuat rondaan bersama seekor anjing di sekitar kawasan berkenaan.
“Haiwan tersebut menyalak dengan kuat, kemudian dia pergi ke arah sebuah tong sampah berhadapan dengan kedai serbaneka berkenaan.
Mohd Zaid berkata, pengawal keselamatan itu terdengar suara bayi menangis dan terdapat benda bergerak apabila tong sampah itu dibuka.
“Dia terus menghubungi 999 untuk mendapatkan bantuan. Bayi itu telah dibawa oleh ambulans ke Hospital Ampang dan kini dia berada dalam keadaan baik di Wad penjagaan intensif untuk bayi (NICU) hospital itu,” katanya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kes berkenaan diminta tampil atau menghubungi balai polis berhampiran.
Kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan.
#bayi berbalut tuala #bayi lelaki #bayi yang masih bertali pusat #dibuang di dalam tong sampah #Mohd Zaid Hassan