Bayi lelaki ditemukan dalam bungkusan plastik di Bandar Sunway

Bernama
November 19, 2023 09:53 MYT
Polis menemukan seorang bayi lelaki yang masih bernyawa dan bertali pusat di dalam bungkusan plastik di tepi jalan Bandar Sunway, Selangor, semalam. -x @bernamadotcom
KUALA LUMPUR: Seorang bayi lelaki ditemukan di dalam bungkusan plastik di tepi jalan di Bandar Sunway, Subang Jaya dekat sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya ACP Wan Azlan Wan Mamat berkata bayi berkenaan dijumpai dalam keadaan tidak berpakaian dan masih bertali pusat berserta uri oleh orang awam pada 1.25 tengah hari.
"Hasil pemeriksaan awal pegawai perubatan mendapati bayi berkenaan baru sahaja dilahirkan dan berada dalam keadaan stabil," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata polis membawa bayi berkenaan ke klinik berhampiran sebelum dirujuk ke Hospital Sungai Buloh dan kini berada di wad Unit Rawatan Intensif Neonatal hospital itu untuk pemantauan rapi.
Wan Azlan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes itu supaya tampil memberikan kerjasama dengan menghubungi 03-78627100 atau Pegawai Penyiasat Insp Suriyana Zakaria di talian 019-3559880.
Menurutnya tiada sebarang kamera litar tertutup di lokasi penemuan bayi itu untuk mengenal pasti suspek terlibat.
Katanya kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.
-- BERNAMA
#bayi dalam bungkusan plastik #tepi jalan di Bandar Sunway #bertali pusat berserta uri #buang bayi