MELAKA: Seorang bayi lelaki berusia setahun sembilan hari kritikal akibat pendarahan di kepala selepas didakwa tidak sedarkan diri ketika berada di sebuah taman asuhan kanak-kanak (taska) di sini, pada pagi Selasa.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, ibu bapa kanak-kanak berkenaan dihubungi pemilik taska melalui aplikasi WhatsApp kira-kira jam 9.30 pagi dan diminta segera mengambil mangsa.

Menurutnya, individu terbabit memaklumkan kepada pasangan suami isteri itu bahawa anak kedua daripada dua beradik itu secara tiba-tiba diserang sawan ketika dimandikan.

"Bapa kanak-kanak berusia 30 tahun kemudian menghubungi pemilik taska dan bergegas ke pusat jagaan itu sebelum membawa mangsa ke Hospital Melaka.

"Setakat ini mangsa sedang menerima rawatan di zon merah hospital kerana mengalami pendarahan di kepala," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Jelasnya, berdasarkan maklumat pengadu, bayi berkenaan dipercayai pernah terjatuh di taska pada Jumaat lalu, dan mengalami bengkak pada dahi dan lebam pipi.

"Lebih kurang jam 8.22 malam hari yang sama, isteri pengadu telah bertanyakan hal itu kepada pemilik taska untuk pengesahan.

"Pemilik taska memberitahu kecederaan itu berlaku akibat mangsa jatuh dari kerusi goyang 'bouncer' dan terlanggar kerusi," katanya.

Ujarnya, pengadu membuat laporan polis untuk tindakan selanjutnya dan kes disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611).

Tinjauan di rumah teres setingkat berkembar itu mendapati taska berkenaan masih beroperasi seperti biasa selain terdapat dua buah kenderaan diletakkan di hadapannya. - Sinar Harian