MALAYSIA
Bayi lelaki maut disyaki didera bapa kandung, ibu tiri

Azli berkata pihaknya menerima laporan dari Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) berkaitan insiden itu pada 4.14 petang 6 Ogos lepas. - Gambar fail/Bernama
KUALA TERENGGANU: Polis menahan sepasang suami isteri kerana disyaki mendera bayi lelaki berusia setahun 11 bulan hingga meninggal dunia.
Ringkasan AI
- Bayi Maut Akibat Dera: Seorang bayi lelaki berusia setahun 11 bulan meninggal dunia akibat kecederaan otak dan pendarahan dalaman selepas dipercayai dipukul dengan objek tumpul oleh bapa kandung dan ibu tiri.
- Suspek Ditahan dan Direman: Pasangan suami isteri berusia 27 dan 30 tahun ditahan di Marang dan direman tujuh hari di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001; penyangkut baju dirampas sebagai bukti.
- Anak Kedua Di bawah Jagaan JKM: Anak sulung pasangan tersebut yang berusia tiga tahun kini diletakkan di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat bagi tujuan perlindungan.
"Suspek mendakwa pada 5 Ogos (Selasa) lepas mangsa mengalami bengkak di dahi setelah memanjat pagar penyekat pintu bilik dan terjatuh. Namun, mangsa kembali aktif dan bermain seperti biasa selepas dahinya dituam dengan ais oleh bapanya.
"Bagaimanapun kira-kira 12 tengah hari keesokan harinya (Rabu) ketika ingin memberikan susu, suspek (bapa mangsa) mendapati badan mangsa lemah dan lembik. Untuk mengelak terkena sawan, lelaki itu telah memberikan urutan di bahagian leher mangsa hingga menyebabkan kesan lebam," katanya dalam kenyataan hari ini.
Azli berkata pada mulanya suspek menghantar mangsa ke Klinik Kesihatan (KK) Manir untuk bantuan kecemasan, namun dirujuk ke HSNZ kerana keadaan kesihatannya yang kritikal.
Beliau berkata hasil pemeriksaan oleh pegawai perubatan mendapati mangsa mengalami kecederaan otak selain lebam dan luka dipercayai akibat hentakan objek tumpul.
"Mangsa disahkan meninggal dunia pada 2.05 petang semalam. Bedah siasat mendapati punca kematian disebabkan pendarahan dalam kepala akibat trauma dipukul benda tumpul. Hasil soal siasat pula kedua-dua suspek mengaku ada memukul mangsa menggunakan penyangkut baju," katanya.
Tambah beliau suspek lelaki yang berusia 27 dan wanita yang berumur 30 tahun itu ditahan kira-kira 10 malam tadi di Pusat Pengurusan Jenazah Rhu Muda, Marang, sejurus selesai proses pengebumjan.
Kedua-duanya direman tujuh hari bermula hari ini hingga Sabtu depan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.
"Polis turut merampas sebatang pengangkut baju yang digunakan dalam kejadian itu. Seorang lagi anak suspek yang berusia tiga tahun diletakkan di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM)," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami