KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah membuka kertas siasatan terhadap penjaga bayi perempuan yang maut akibat ditinggalkan selama kira-kira 10 jam di tempat letak kereta di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Cheras, di sini, pada Khamis.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid, bagaimanapun berkata, pihaknya akan memberi ruang kepada ibu bapa mangsa untuk mengambil masa sebelum merakamkan keterangan mereka.

“Kes sudah dibuka dan siasatan dibuat berdasarkan Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001, pengabaian terhadap kanak-kanak,” katanya ketika ditemui pada Program Gotong Royong Ibu Pejabat Polis Kontinjen KL dan PPR Kg Limau di sini, hari ini.

Pada Jumaat, media melaporkan seorang bayi perempuan berusia lapan bulan meninggal dunia selepas kira-kira 10 jam ditinggalkan di dalam kereta oleh ibunya di tempat letak kereta di HCTM.

Kejadian berlaku selepas ibu mangsa yang juga seorang doktor di hospital berkenaan menyangka sudah menghantar bayinya itu ke taska sebelum ke tempat kerja.

Ibu mangsa hanya menyedari meninggalkan kanak-kanak itu, sehingga pukul 5.30 petang apabila ditelefon suaminya menyatakan anaknya tiada di taska.

Menurut Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Zam Halim Jamaluddin, pegawai perubatan HTCM menerima mangsa dalam keadaan tidak sedarkan diri pada jam 5.53 petang.

Beliau berkata, mangsa yang juga anak bongsu daripada dua beradik kemudian disahkan meninggal dunia.