BUKIT MERTAJAM: Punca kematian bayi lelaki berusia empat bulan di sebuah taska 24 jam di kawasan Hospital Seberang Jaya pada minggu lalu dikenal pasti sebagai lemas.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail berkata, hasil dapatan awal bedah siasat mendapati mangsa meninggal dunia akibat lemas.
Advertisement
Menurutnya, kertas siasatan kes berkenaan kini sedang dalam proses dilengkapkan bagi tindakan lanjut.
“Setakat ini, siasatan masih berjalan dan beberapa aspek penting sedang diperhalusi sebelum dirujuk kepada pihak Timbalan Pendakwa Raya,” katanya ketika ditemui pada program Op Selamat 26 sempena Hari Raya Aidilfitri 2026 peringkat kontinjen Pulau Pinang di Plaza Tol Juru di sini pada Rabu.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan reman dua pekerja sebuah taska disambung tujuh hari lagi bagi membantu siasatan berhubung kematian seorang bayi lelaki pada Isnin minggu lalu.
Dua wanita berusia 31 tahun itu direman tujuh hari bermula 10 Mac lalu untuk membantu siasatan berhubung kes berkenaan.
Terdahulu, polis mengesahkan bahawa pihaknya telah membuka kertas siasatan mengikut kes bunuh susulan kematian bayi lelaki tersebut.
Mangsa, Hayl Haarith Mohd Syafaeez ditemukan tidak sedarkan diri di taska 24 jam yang terletak dalam kawasan Hospital Seberang Jaya pada awal pagi Isnin.
Bayi itu kemudian dikejarkan ke Jabatan Kecemasan hospital berkenaan kira-kira jam 4 pagi selepas ibunya, Ummu Habibah Wahab, 30, yang juga jururawat bertugas syif malam menerima panggilan memaklumkan wajah anaknya bertukar kebiruan.
Pasukan perubatan dilaporkan menjalankan prosedur resusitasi kardiopulmonari selama kira-kira sejam bagi menyelamatkan mangsa, namun bayi tersebut gagal diselamatkan.
Difahamkan, bayi berkenaan baharu sahaja dihantar ke taska itu selepas ibunya kembali bertugas selepas tamat tempoh berpantang. - Sinar Harian