Seorang kanak-kanak perempuan berusia setahun dipercayai lemas selepas terjatuh ke dalam baldi berisi air di rumahnya dalam kejadian di Taman Koperasi Pengkalan Chepa di sini, Jumaat.

Kejadian kira-kira jam 12.15 tengahari itu menyebabkan mangsa, Soffiyah Mustafa yang dipercayai bermain di kawasan kejadian terjatuh ke dalam baldi terbabit yang berisi air.

Keluarga mangsa dikatakan tidak menyedari kehadiran kanak-kanak itu kerana sedang mencuci sebuah kolah.

Kakak mangsa, Farhana Mustafa, 23, berkata dia hanya mengetahui adiknya lemas selepas dimaklumkan oleh adik lelakinya yang berusia 10 tahun yang turut berada bersama mangsa ketika itu.

“Saya terus pergi kepada adik saya dan pada masa itu saya lihat adik saya sudah tidak bergerak lagi. Saya cepat-cepat memberi tahu kepada ibu saya dan kami bawa ke hospital terus,” kata Farhana.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Azham Othman mengesahkan menerima laporan kejadian dan mayat mangsa dibedah siasat di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII).

"Bedah siasat sudahpun selesai dan laporan mengatakan mangsa memang lemas dan kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut," kata Azham.

Menurut Azham lagi, jenazah mangsa sudah dibawa pulang oleh ahli keluarganya dan selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Pengkalan Chepa sekitar jam 10 malam.