'Bayi R&R' kini dijaga rapi di hospital

Bernama
Oktober 10, 2018 07:39 MYT
Bayi yang diletakkan di atas kabinet simen tandas wanita di R&R Lanchang itu, dijumpai dalam keadaan berlumuran najis. - Foto ihsan pembaca
Bayi lelaki yang ditemui ditinggalkan di dalam tandas wanita di Hentian Lanchang, Temerloh menghala ke Kuala Lumpur awal pagi semalam, kini diletakkan di bawah pengawasan Hospital Sultan Haji Ahmad Shah.
Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pahang, Zulkhairi Zainol Abidin berkata walaupun tidak mengalami sebarang kecederaan, bayi yang dipercayai baru dilahirkan itu tetap akan dirawat di hospital itu sehingga dia benar-benar sihat.
"Pihak JKM sendiri melawat bayi itu di hospital untuk melihat perkembangannya dan dia didapati dalam keadaan baik, tiada kecederaan di tubuh badannya. Bagaimanapun dia akan terus diletakkan di bawah pemantauan hospital sehingga disahkan sihat dan dibenarkan keluar dari hospital," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.
BACA: Bayi lelaki baru dilahirkan ditemui dalam tandas di R&R Lanchang
Katanya, selepas dibenarkan keluar dari hospital nanti, Pegawai Pelindung akan memohon perintah mahkamah bagi menempatkan sementara bayi berkenaan di institusi kebajikan selain akan turut menguruskan pendaftaran sijil kelahirannya.
Dalam kejadian sekitar pukul 5 pagi semalam, orang awam menemui bayi lelaki ditinggalkan di dalam sebuah tandas wanita di Hentian Lanchang, Temerloh, dalam keadaan bogel dan penuh dengan najis. -- Bernama
#bayi baru lahir #bayi lelaki #buang bayi #Hospital Sultan Haji Ahmad Shah #Lanchang #r&r lanchang