Seorang bayi lelaki baru dilahirkan ditemui oleh orang awam di dalam tandas wanita di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Lanchang menghala ke Kuala Lumpur, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Zundin Mahmood berkata, bayi lelaki itu ditemui pada pukul 5 pagi oleh orang awam dalam keadaan bogel sebelum menghubungi polis.

"Hasil maklumat saksi, ketika kejadian dia pergi ke tandas wanita dan menemui bayi berkenaan dalam keadaan dipenuhi najis di atas kabinet simen tandas.

"Hasil pemeriksaan ke atas bayi itu mendapati tiada kecederaan di anggota badan dan tali pusat sudah dipotong serta dibalut dengan kain pelikat dan kain telekung wanita yang di ambil di surau," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Bayi

Beliau berkata, saksi juga mendakwa ada mendengar tangisan bayi sejak pukul 4.30 pagi lagi, namun hanya masuk ke tandas berkenaan 30 minit kemudian.

"Kita sudah menghantar bayi berkenaan ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah di sini untuk rawatan lanjut.

''Siasatan sedang diteruskan untuk mendapatkan maklumat dan mengesan suspek yang terlibat," katanya

Zundin berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta tampil di balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran.