MALAYSIA

Bayu Raudhah Sabah nafi penyelewengan dana Tabung #JusticeForZara

Astro Awani 20/12/2025 | 06:30 MYT
Pertubuhan itu berkata, semua pengurusan kewangan dilakukan mengikut prosedur pertubuhan serta peraturan sah yang berkuat kuasa, selain komitmen terhadap ketelusan dan akauntabiliti. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Pertubuhan Kebajikan Bayu Raudhah Sabah menafikan sebarang salah guna atau penyelewengan dana melibatkan Tabung #JusticeForZara, yang diwujudkan bagi membantu keluarga Allahyarhamah Zara Qairina dan menyokong prosiding inkues berkaitan kes berkenaan.

Setiausaha pertubuhan, Sitti Fhaizah Mukthar berkata, semua pengurusan kewangan dilakukan mengikut prosedur pertubuhan serta peraturan sah yang berkuat kuasa, selain komitmen terhadap ketelusan dan akauntabiliti.

Menurutnya dalam satu kenyataan pada Sabtu, semua maklumat serta rekod berkaitan Tabung JusticeForZara telah didedahkan kepada pihak berkuasa yang berkaitan, manakala laporan kewangan juga boleh disemak oleh pihak berkuasa atau penderma melalui saluran rasmi pertubuhan, tertakluk kepada prosedur dan keperluan dokumentasi.

"Tabung #JusticeForZara diuruskan melalui sebuah akaun khas di bawah nama pertubuhan, selaras dengan prinsip ketelusan, akauntabiliti dan tadbir urus kewangan yang baik.

"Pengurusan akaun ini melibatkan penandatangan daripada pihak pertubuhan (Bendahari dan Setiausaha), wakil keluarga mangsa iaitu ibu kepada Allahyarhamah Zara Qairina, Noraidah Lamat, serta wakil peguam yang dilantik, iaitu Shahlan dan Syarulnizam.

"Segala penggunaan dan pengeluaran dana daripada Tabung #JusticeForZara dibuat dengan pengetahuan dan keizinan Noraidah Lamat selaku ibu dan wakil keluarga mangsa, selaras dengan tujuan tabung ini diwujudkan untuk menyokong keperluan keluarga dan prosiding inkues," katanya.

Jelasnya lagi, sebarang pengeluaran dana memerlukan kelulusan bersama dan sekurang-kurangnya dua tandatangan daripada penandatangan yang dilantik dan tiada individu mempunyai kuasa akses tunggal terhadap akaun ini.

Menurutnya, semua kutipan dana direkodkan dengan teliti dan digunakan hanya untuk tujuan yang dinyatakan, termasuk kos dokumentasi, khidmat kepakaran, logistik, penginapan keluarga dan pakar, serta keperluan mesyuarat dan operasi.

Tegasnya lagi, semua transaksi direkodkan secara sistematik dan tertakluk kepada semakan dalaman mengikut peraturan dan keperluan kewangan yang berkuat kuasa.

Katanya, setakat 18 Disember, jumlah dana terkumpul ialah RM255,016.27 dengan perbelanjaan RM162,155.87 dan baki semasa RM94,096.97 menjadikan baki semasa tabung setakat 18 Disember 2025 ialah RM94,096.97.

Menyentuh mengenai pecahan perbelanjaan, kos terbesar dicatatkan adalah bagi khidmat kepakaran dan konsultasi profesional yang menelan belanja sebanyak RM82,747.35, diikuti kos logistik dan perjalanan.

Ia melibatkan perbelanjaan untuk perjalanan udara dan darat bagi pakar serta pengangkutan keluarga berkaitan prosiding berjumlah RM40,435.54 selain beberapa lagi perbelanjaan lain seperti penginapan (RM22,119.28), serta dokumentasi dan komunikasi (RM12,497).

Sementara itu, pihaknya berterima kasih atas sokongan masyarakat dan mendoakan agar usaha ini memberi manfaat kepada keluarga Allahyarhamah Zara serta prosiding inkues yang dijalankan.




#pengurusan kewangan #Sitti Fhaizah Mukthar #Pertubuhan Kebajikan Bayu Raudhah Sabah #Tabung JusticeForZara