NATIONAL

Bazar: Bakal adakan post-mortem, DBKL sedia terima maklum balas

Pia Ernadya 26/03/2025 | 13:12 MYT
MAIMUNAH: Selepas ini, DBKL akan membuat post-mortem pada bulan Jun, dan kita akan membuat persediaan pada tahun hadapan. Apa-apa maklum balas, kita akan terima dan tambah baik. - Gambar Fail
KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan mengadakan post-mortem Jun ini bagi menilai pelaksanaan bazar yang buat julung-julung kalinya diuruskan sendiri oleh pihak berkuasa tempatan itu.
Justeru, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Maimunah Mohd Sharif menyeru agar orang ramai tampil memberikan maklum balas demi menambah baik penganjuran bazar pada masa akan datang.
"Ini adalah kali pertama DBKL menguruskan (Bazar Ramadan dan Aidilfitri). Saya pasti ada pembaharuan serta maklum balas yang diberikan kepada kami. (Oleh itu), sila berikan maklum balas untuk pihak kami bagi membantu (menambah baik) penganjuran bazar untuk tahun hadapan.
"Sebab selepas ini, DBKL akan membuat post-mortem pada bulan Jun, dan kita akan membuat persediaan pada tahun hadapan. Apa-apa maklum balas, kita akan terima dan tambah baik," katanya.
Beliau berkata demikian dalam temu bual eksklusif bersama Astro AWANI di Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur pada Rabu.
Pada masa sama, beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak berkepentingan yang terlibat.
"Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada peniaga yang memberikan kerjasama kepada kami, Pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM), Bank Muamalat, Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dalam memastikan kelancaran penganjuran bazar tahun ini," tambahnya.
Bermula tahun ini, DBKL akan mengambil alih sepenuhnya pengurusan bazar Ramadan dan Aidilfitri di ibu kota, termasuk urusan permohonan lesen, pengoperasian tapak serta kawalan bazar.
Menurut Maimunah, pengambilalihan ini bertujuan untuk memastikan kadar sewaan yang lebih berpatutan bagi peniaga serta meningkatkan tahap pengurusan bazar agar lebih sistematik, bersih dan teratur.
#DBKL #bazar aidilfitri #post-mortem #maimunah mohd sharif #maklum balas