MALAYSIA

BE 2026 bantu fahami isu bekalan dan permintaan pelbagai industri di Malaysia - Ketua Perangkawan

Astro Awani 15/01/2026 | 10:45 MYT
Bertemakan Data Nadi Ekonomi Rakyat, BE 2026 akan dilaksanakan di seluruh negara. - Gambar DOSM
KUALA LUMPUR: Banci Ekonomi (BE) 2026 akan menggambarkan suasana sebenar bekalan dan permintaan pelbagai industri dalam negara.


Ringkasan AI
  • Banci Ekonomi 2026 akan paparkan data sebenar bekalan dan permintaan industri, sekali gus membantu kenal pasti punca ketidakstabilan harga barangan pengguna. Kaedah baharu BE2026 lebih terperinci dengan pelarasan mengikut daerah, melibatkan 1.34 juta entiti perniagaan merentasi semua sektor ekonomi. Projek lima tahun ini penting untuk gambarkan keadaan ekonomi pasca COVID-19, dengan pelaksanaan berperingkat melalui temu ramah dan borang digital.


Ketua Perangkawan, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata, data itu juga akan mendedahkan punca ketidakstabilan harga barangan pengguna.

“Kalau kita lihat senario semasa, kadang-kadang berlaku lebihan pengeluaran yang menyebabkan harga tidak stabil sehingga harga jatuh di bawah harga kos seterusnya peniaga tidak boleh bertahan.

"Perkara ini boleh kita tangani apabila kita tahu maklumat mengenai jumlah bekalan dan pemain industri,” katanya dalam program Agenda AWANI baru-baru ini.

Bertemakan Data Nadi Ekonomi Rakyat, BE2026 akan dilaksanakan di seluruh negara

Menurut Mohd Uzir, kaedah BE kali ini akan menghasilkan laporan yang lebih terperinci dan tidak sekadar menggunakan matriks input-output komoditi demi komoditi sebagai ukuran tetapi akan dilaraskan mengikut daerah.

Sebanyak 1.34 juta entiti perniagaan di seluruh negara, merangkumi perniagaan mikro, perusahaan kecil dan sederhana serta syarikat besar terlibat dalam BE 2026 yang dilaksanakan sehingga 31 Oktober 2026.

Banci ini dilaksanakan setiap lima tahun dan antara projek terbesar Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) tahun ini bagi memastikan data ekonomi negara lebih menyeluruh dan mencerminkan keadaan sebenar ekonomi pasca COVID-19.

Fasa pertama melibatkan temu ramah bersemuka menggunakan borang soal selidik dan sistem e-Mikro sementara fasa kedua dan ketiga pula menggunakan kaedah pengisian borang dalam talian, penghantaran melalui pos, komunikasi e-mel atau telefon serta temu ramah bersemuka.

Bertemakan Data Nadi Ekonomi Rakyat, BE2026 akan dilaksanakan di seluruh negara merangkumi semua pertubuhan perniagaan dan pertubuhan bukan berasaskan keuntungan, termasuk sektor pertanian, pembuatan, pembinaan, perlombongan dan pengkuarian serta perkhidmatan.

Menurut rekod DOSM 2025, pertubuhan mikro merangkumi 74.3 peratus daripada pertubuhan yang dibanci, diikuti pertubuhan kecil (20.8 peratus), pertubuhan besar (3.8 peratus) dan pertubuhan sederhana (1.1 peratus).


Agenda AWANI: Banci Ekonomi 2026 | Data Nadi Ekonomi Rakyat






#DoSM #Banci Ekonomi 2026 #PMKS #COVID-19