Skip to main content

Malaysia

Bebas kes rogol adik, bekas penghuni Henry Gurney didakwa cuba ‘noda’ adik lain pula

rogol adik, Ayer Keroh, pelajar Henry Gurney
Tertuduh dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ayer Keroh hari ini dan membuat pengakuan tidak bersalah sejurus dua pertuduhan terhadapnya dibacakan. - Foto Astro AWANI
Advertisement

AYER KEROH: Baru sahaja bebas dari Sekolah Henry Gurney dua bulan lalu atas kesalahan merogol adik kandungnya, seorang pemuda sekali lagi atas ditahan melakukan amang seksual fizikal dan cubaan merogol adiknya yang lain dalam dua kejadian berasingan pada Jun dan minggu lalu.

Kesalahan pertama itu dilakukan hanya dalam tempoh beberapa jam selepas bekas ‘pelatih’ pusat pemulihan berusia 21 tahun berkenaan pulang ke rumah keluarga mereka.

Tertuduh kemudian dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ayer Keroh hari ini dan membuat pengakuan tidak bersalah sejurus dua pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa dihadapan Hakim Raja Noor Adilla Raja Mahyaldin.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal dengan cara mencium dan meraba adik bongsunya yang berusia 15 tahun, kira-kira pukul 1 tengah hari 6 Jun lalu di sebuah rumah di Kampung Umbai.

Manakala tertuduh sekali lagi melakukan kesalahan sama dengan cara menarik seluar dan menyandarkan badannya terhadap mangsa sama pada pukul 9.30 malam, 20 Ogos lalu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh yang merupakan anak sulung daripada empat beradik itu didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh tidak lebih 20 tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya.

Terdahulu pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Rif'ah 'Izzati Abdul Mutalif mencadangkan jaminan RM 15,000 bagi setiap pertuduhan selain memohon syarat tambahan supaya tidak mengganggu atau mendekati mangsa.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam bagaimanapun memohon jumlah jaminan dikurangkan dengan alasan dia baru sahaja bebas dari pusat pemulihan selain membantu menambah pendapatan keluarga.

Raja Noor Adilla pada penghakimannya kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM9,000 bagi kedua-dua pertuduhan serta menerima syarat tambahan dipohon pihak pendakwaan.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh melapor diri setiap bulan di balai polis berhampiran selain menetapkan 29 September ini sebagai tarikh sebutan semula kes dan serahan dokumen.

Must Watch Video

Advertisement