ALOR SETAR: Syarikat Air Darul Aman Sdn Bhd (SADA) hari ini memaklumkan beberapa kawasan di Langkawi mengalami gangguan bekalan air berikutan musim kemarau panjang dan kering yang sedang berlaku di pulau itu hingga mengakibatkan paras Sungai Melaka semakin menyusut.

SADA dalam satu kenyataan memaklumkan antara kawasan terjejas ialah Pekan Kuah, Kilim, Kelibang, Perana, Bayas, Pantai Cenang, Pantai Tengah, Padang Lalang, Ayer Hangat dan kawasan sekitar.

"Sedia maklum, musim kemarau panjang dan kering yang sedang berlaku di Pulau Langkawi telah mengakibatkan paras Sungai Melaka semakin menyusut dan hal ini secara tidak langsung memberi kesukaran kepada SADA untuk memenuhi permintaan air terawat yang semakin meningkat daripada pengguna terutamanya di kawasan yang mempunyai populasi tinggi.

"Ketika ini, produksi pengeluaran semua Loji Rawatan Air (LRA) SADA di Pulau Langkawi menunjukkan trend penurunan dan dijangka akan terus berlarutan sehingga paras Sungai Melaka kembali normal," menurut kenyataan itu.

Bagi mengurangkan beban pengguna yang terjejas, SADA melaksanakan dua pelan tindakan penyelesaian segera antaranya penghantaran lori tangki air secara berjadual.

Selain itu, SADA turut melakukan penghantaran bekalan air ke Pulau Tuba dari rumah pam Penarak dengan kekerapan dua kali sehari bagi mengatasi masalah terputus bekalan air di Pulau Tuba dan inisiatif itu setakat ini dilihat memberi hasil positif apabila isu gangguan bekalan air di kawasan itu berjaya dikurangkan.

Sementara itu, menurut kenyataan itu SADA juga mengambil beberapa tindakan penyelesaian jangka pendek bagi mengatasi isu gangguan bekalan air di pulau pelancongan itu antaranya pembaikan paip dasar laut secara berterusan mengikut jadual pasang surut laut selain pembinaan rumah pam di Empangan Malut bagi meningkatkan kapasiti air mentah untuk operasi LRA Padang Saga 2 dan 3 serta LRA Bukit Kemboja.

"(Selain itu), menaik taraf sistem bekalan elektrik di LRA Bukit Kemboja bagi meningkatkan kapasiti air terawat kepada pengguna, pengagihan semula bekalan air melalui pemasangan paip pintasan dari rumah pam Penarak ke tangki Kuah/Dundung dan pemasangan tangki sedutan di rumah pam Lanai bagi menambah baik sistem agihan," menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA