BEAUFORT: Beberapa kawasan sekitar Lumadan di daerah Beaufort dilapor dilanda banjir susulan hujan berterusan sejak pagi tadi, mengakibatkan limpahan air sungai.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan, Ruslan Muharam, antara kampung yang terjejas ialah Kampung Bukau, Kampung Lago, Kampung Luagan, Kampung Melati, Kampung Balibata dan Kampung Suasa.

Turut terkesan akibat limpahan air sungai berkenaan ialah kawasan sepanjang jalan Gadong, melibatkan beberapa buah rumah.

"Pada ketika ini kita telah pun menerima maklumat di daerah Keningau juga sedang mengalami hujan berterusan dan sudah pasti air berkenaan akan turun ke Tenom, kemudian melalui Sungai Padas di Beaufort, dan sungai itu sekarang ini sudah tinggi (paras air).

"Kita kira air yang akan turun nanti lebih tinggi (banyak) lagi di Beaufort, dan ini sudah tentu kita menyarankan kepada rakyat di luar sana, supaya mereka lebih bersiap sedia," katanya kepada pemberita ketika meninjau lokasi terjejas, di sini pada Selasa.

Jelas Ruslan lagi, pihaknya telah mengenal pasti dewan-dewan yang akan digunakan sebagai pusat transit bagi pemindahan mangsa-mangsa sebelum dibawa ke Pusat Pemindahan Sementara (PSS) di Dewan Dun Banir dan Pak Musa.

Begitu pun, katanya setakat ini tiada lagi PPS yang dibuka memandangkan air telah mula surut sekitar pukul 5 petang tadi.

"Kita di peringkat kampung, dewan-dewan untuk transit kita sudah bersiap sdia untuk dibuka dan  kita melihat keadaan ini semakin tidak menentukan dan kita menjangkakan air Sungai Padas semakin tinggi.

"Kita menyarankan untuk bertindak lebih cepat dan oleh kerana pihak kerajaan telah beri amaran lebih awal, kita minta juga di peringkat Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) di setiap kawasan bersiap sedia membantu rakyat," tambah Ruslan.