KUALA LUMPUR: Beberapa kawasan di sekitar Shah Alam dilanda banjir kilat akibat hujan lebat lebih tiga jam petang tadi.

Antara kawasan terjejas ialah sekitar Stadium Shah Alam di Seksyen 13 yang dinaiki air mencecah kira-kira 1.2 meter (m).

Pengarah Bomba Selangor, Norazam Khamis, berkata tinjauan anggotanya di beberapa kawasan di Seksyen 13 tadi mendapati air naik separas dada dan pinggang.

"Bagaimanapun, air sudah mulai surut, tetapi kami masih lagi memantau dan mendapatkan maklumat mengenai kejadian ini," katanya malam ini.

Dalam pada itu, katanya seorang pemandu sempat keluar menyelamatkan diri selepas kenderaannya terkandas dalam banjir kilat di Seksyen 13, petang tadi.

Katanya, pihaknya mendapat maklumat mengenai kejadian banjir itu pada jam 5.09 petang.

"Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Selangor menerima laporan beberapa kawasan sekitar Seksyen 13, Stadium Shah Alam dinaiki air sehingga ketinggian 1.2 m.

"Pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Shah Alam ke lokasi mendapati terdapat sebuah kenderaan terkandas di dalam banjir di kawasan itu.

"Bagaimanapun, pemandu sudah keluar menyelamatkan diri. Setakat ini tiada mangsa terbabit dilaporkan," katanya.