MALAYSIA

Bedah siasat pelajar UM jatuh kolej kediaman dilakukan malam ini - Polis

Bernama 17/10/2025 | 13:43 MYT
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Shamsudin Mamat berkata pihaknya mengesahkan kejadian membabitkan pelajar lelaki berusia 22 tahun itu pada kira-kira 3.15 petang. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Bedah siasat ke atas seorang pelajar Universiti Malaya (UM) yang maut selepas terjatuh dari kolej kediaman petang tadi, akan dijalankan malam ini di Jabatan Patologi Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Shamsudin Mamat berkata pihaknya mengesahkan kejadian membabitkan pelajar lelaki berusia 22 tahun itu pada kira-kira 3.15 petang.

"Mangsa disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di PPUM pada 4.25 petang. Pihak polis masih menjalankan siasatan di lokasi kejadian dan sebarang perkembangan lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa," katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam kenyataan berasingan, Universiti Malaya memaklumkan bahawa pelajar tersebut disahkan meninggal dunia selepas menerima rawatan kecemasan di PPUM.

"Seluruh warga Universiti Malaya menzahirkan rasa sedih dan simpati yang mendalam kepada keluarga Allahyarham. Jabatan Hal Ehwal Pelajar kini menyalurkan bantuan serta memberikan sokongan sepenuhnya kepada keluarga terlibat.

"Punca kejadian masih dalam siasatan pihak berkuasa, dan Universiti Malaya memberi kerjasama penuh bagi membantu siasatan tersebut," menurut kenyataan itu.

UM turut menyeru semua pihak agar menghormati privasi keluarga mangsa serta tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang tidak sahih berkaitan insiden berkenaan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Shamsudin Mamat berkata pihaknya mengklasifikasikan kes pelajar UM yang maut selepas terjatuh dari kolej kediaman petang tadi, sebagai mati mengejut.

"Proses bedah siasat sedang dijalankan oleh pakar Patalogi PPUM," katanya dalam kenyataan malam ini.

Shamsudin berkata siasatan di lokasi kejadian telah dijalankan pihak forensik Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Kontinjen Selangor dan pegawai penyiasat selain sedang merakam keterangan saksi kejadian.

Beliau berkata orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian itu diminta tampil ke balai polis berhampiran atau berhubung terus dengan bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya di talian 03-79662222.

-- BERNAMA


#pelajar UM jatuh #kolej kediaman #Polis Daerah Petaling Jaya #bedah siasat