Bekalan Air Berjadual (BAB) dicadang dilaksanakan di Kota Tinggi dan Simpang Renggam mulai 2 Sept ini berikutan kemerosotan paras air mentah muka sauk Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Gembut dan LRA Simpang Renggam.

Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Antarabangsa, Pelaburan dan Utiliti negeri Jimmy Puah Wee Tse berkata fenomena cuaca panas dan kering yang melanda negeri ini sejak bulan lepas mengakibatkan kemerosotan pada paras muka sauk di kedua-dua LRA berkenaan.

"Di Kota Tinggi, LRA Sungai Gembut tidak dapat beroperasi secara normal dan hanya mampu merawat air bersih pada kadar minimum.

"Maka, pihak Ranhill SAJ Sdn Bhd bercadang melaksanakan BAB dengan frekuensi '24 jam ada bekalan air dan 48 jam tiada bekalan air' bermula 2 Sept ini," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Puah berkata paras air di Sungai Gembut merosot ke -0.87 meter melebihi paras kritikal iaitu 0.00 meter sekali gus menyebabkan LRA Sungai Gembut hanya mampu beroperasi pada pengeluaran yang paling minimum.

Beliau berkata bagi mengagihkan bekalan air bersih yang terhad kepada semua kawasan yang terlibat, BAB dibahagi kepada tiga zon iaitu melibatkan 5,246 akaun pengguna di sekitar kawasan liputan LRA Sungai Gembut.

Katanya kawasan terlibat iaitu Zon A meliputi Bandar Perani, Felda Bukit Aping Timur dan Barat, Gembut Cina, PPRT Kampung Sayang, Pekan Tanjung Sedili, Kampung Tuan Seh dan Taman Tuan Seh.

"Zon B pula termasuk kawasan Sedili Kecil, Kampung Belukar Durian, Telok Mahkota, Resort Sedili Kecil, Kampung Sri Gading Laut dan Dalam, Kampung Sri Paya, Kampung Mawai Baru dan Lama, Kampung Selangi Batu 9 Jalan Mersing, Jalan Mawai serta Teluk Mahkota.

"Zon C melibatkan kawasan Kampung Gembut, Kampung Singapura, Kampung Sentosa, Kampung Teluk Jeri Luar dab Dalam, Taman Sedili, Legaran Air Gemuruh, Kampung Sayang, Pekan Sedili Besar, Kampung Teluk, Kampung Perepat, Kampung Semayong, Kampung Nelayan, Kampung Tanjung, Kampung Tengah, Kampung Bukit, Kampung Temala, Kampung Teluk Nyireh, Jeti Che Pong dan Perumahan Felcra," katanya.

Menurut Puah, LRA Simpang Renggam yang memperolehi sumber air mentah daripada Empangan Machap turut terkesan dengan fenomena cuaca panas dengan LRA tersebut yang membekalkan air di sekitar Pekan Simpang Renggam, Layang-layang dan utara Pontian melibatkan kira-kira 25,894 pengguna mengalami kemerosotan pada paras air di muka sauk 4.76 meter berbanding 4.42 meter di bawah paras kritikal.

Beliau berkata BAB akan dilaksanakan mengikut frekuensi '36 jam ada air dan 36 jam tiada air' di seluruh Jalan Benut -Pontian, Jalan Parit Betak, Benut, Jalan Parit Ismail, Jalan Madirono-Makasar, Jalan Parit Panjang, Sanglang, Ayer Baloi, Pulai Sebatang dan sebahagian Api-api, Mukim Renggam, Mukim Ulu Benut, Mukim Machap (tidak termasuk kawasan pentadbiran daerah Batu Pahat) serta sepanjang Jalan Johor-Simpang Renggam.

"Perkara ini (BAB) akan terbatal sekiranya paras air mentah menunjukkan peningkatan sekali gus membolehkan LRA beroperasi pada kapasiti pengeluaran normal dan seterusnya pengguna mula mendapat bekalan air sewajarnya.

"Tetapi, sekiranya keadaan bertambah kritikal, jadual lain akan dikeluarkan bersesuaian dengan keadaan semasa pengeluaran LRA," katanya dengan menambah jadual BAB akan diedarkan kepada semua pengguna di kawasan yang terlibat.

Puah berkata fenomena cuaca kering turut memberi kesan kepada bekalan air beberapa muka sauk lain, namun, Ranhill SAJ sentiasa memantau secara terperinci keadaan paras air di empangan-empangan dan muka sauk yang lain demi memastikan tindakan awal dapat dilaksanakan bagi meminimumkan gangguan bekalan air serta pengguna mendapat bekalan air bersih serta berkualiti sewajarnya.

-- BERNAMA