KUALA LUMPUR: Bekalan air di kesemua 13 kawasan terjejas sekitar ibu negara susulan insiden paip pecah di Jalan Kuari, Kampung Cheras Baru dijangka pulih sepenuhnya pada jam 4 pagi, pada Sabtu.

Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) memaklumkan kerja-kerja pembaikan paip pecah di Jalan Kuari, Kg. Cheras Baru, Kuala Lumpur telah siap dilaksanakan pada jam 4.15 pagi, pada Jumaat.

Dalam satu kenyataan katanya, bekalan air akan mula disalurkan kepada pengguna di kawasan yang terjejas setelah bekalan air bersih melalui ujian kualiti dan mematuhi piawaian yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Tempoh masa pemulihan bekalan air adalah berbeza dari satu kawasan ke kawasan lain bergantung kepada lokasi dan jarak premis pengguna.

"Bantuan air alternatif melalui lori-lori tangki akan terus digerakkan di kawasan yang terjejas dengan keutamaan diberikan kepada premis-premis kritikal seperti hospital, pusat dialisis dan upacara pengkebumian.

"Para pengguna diharap dapat mematuhi penjarakan fizikal dan memakai pelitup muka semasa mengambil bekalan air daripada lori-lori tangki ini," katanya.

Kawasan yang terjejas ialah Taman Muda, Taman Bukit Permai, Taman Bukit Pandan, Kampung Cheras Baru, Taman Mawar, Taman Seraya, Taman Mega, Taman Bukit Teratai, Taman Melur, Taman Saga, Taman Putra, Taman Mewah dan Taman Mestika.

Air Selangor turut menyarankan para pengguna yang telah dan akan mendapat bekalan air untuk membiarkan pili air mengalir sehingga jernih sebelum digunakan untuk kegunaan harian.

Air Selangor berharap pengguna yang telah mendapat bekalan air akan menggunakan air secara berhemat bagi memastikan proses pemulihan di kawasan yang masih terjejas berjalan lancar seperti yang dijadualkan.

"Pengguna boleh merujuk kesemua saluran komunikasi rasmi kami seperti aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan Twitter atau hubungi Air Selangor di talian 15300. Sebarang pertanyaan dan aduan juga boleh diajukan di Help Centre di laman web www.airselangor.com dan aplikasi Air Selangor," jelasnya.