KUALA LUMPUR: Bekalan air ke kawasan terjejas susulan henti tugas sementara disebabkan insiden pencemaran bau di Muka Sauk Loji Rawatan Air (LRA) Rantau Panjang, pulih 52 peratus setakat 12 tengah hari tadi, menurut Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor).

Ketua Komunikasi Korporat Air Selangor Elina Baseri berkata peratusan pemulihan bekalan air di kawasan terjejas seperti di Petaling adalah 41 peratus, Gombak (99 peratus), Hulu Selangor (100 peratus), Klang (empat peratus), Shah Alam (18 peratus), Kuala Langat (kosong peratus) dan Kuala Selangor (36 peratus).

Beliau berkata tempoh pemulihan bekalan air di kawasan terjejas itu bergantung kepada lokasi dan jarak premis pengguna.

"Air Selangor ingin menasihatkan pengguna yang telah dan akan mendapat bekalan air agar membiarkan pili air mengalir sehingga jernih sebelum untuk kegunaan harian," katanya.

Menurutnya pengguna boleh mendapatkan senarai kawasan terjejas dengan melayari laman sesawang https://hentitugas.airselangor.com/ selain menerusi aplikasi Air Selangor.

Elina berkata pengguna juga boleh merujuk di semua saluran rasmi platform media sosial seperti Facebook, Instagram dan Twitter atau hubungi Air Selangor di talian 15300.

"Sebarang pertanyaan dan aduan juga boleh diajukan ke Help Centre di www.airselangor.com dan aplikasi Air Selangor," katanya.

Terdahulu, Air Selangor mengumumkan empat LRA di negeri itu, iaitu LRA Rantau Panjang, LRA Sungai Selangor Fasa 1, LRA Sungai Selangor Fasa 2, dan LRA Sungai Selangor Fasa 3, telah kembali beroperasi sepenuhnya.

-- BERNAMA