KUALA LUMPUR: Status pemulihan bekalan air di kawasan yang terjejas akibat operasi henti tugas sementara empat Loji Rawatan Air (LRA) berikutan insiden pencemaran bau di Sungai Selangor telah mencapai 37.3 peratus setakat 10 malam tadi.

Empat loji itu ialah melibatkan Sungai Selangor Fasa 1 (SSP1), Sungai Selangor Fasa 2 (SSP2), Sungai Selangor Fasa 3 (SSP3) dan LRA Rantau Panjang.

Bekalan air dijangka pulih sepenuhnya pada jam 12 tengah malam, 12 Oktober 2023 (Khamis).

Kawasan-kawasan yang masih terlibat dengan gangguan bekalan air adalah Petaling, Kuala Lumpur, Gombak, Shah Alam, Klang, Hulu Selangor dan Kuala Selangor.

Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) menyarankan para pengguna yang telah dan akan mendapat bekalan air untuk membiarkan pili air mengalir sehingga jernih sebelum digunakan untuk kegunaan harian.

Para pengguna yang telah mendapat bekalan air juga diharap akan menggunakan air secara berhemat bagi memastikan proses pemulihan di kawasan yang masih terjejas berjalan lancar.

Para pengguna boleh mendapatkan maklumat berhubung gangguan bekalan air tidak berjadual ini daripada semasa ke semasa menerusi saluran komunikasi rasmi seperti aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan X atau hubungi Air Selangor di talian 15300 atau layari laman web Air Selangor.