MALAYSIA

Bekalan air pulih sepenuhnya di Kuala Selangor, Hulu Selangor, dan Kuala Lumpur

Bernama 21/07/2019 | 13:59 MYT
rang ramai mengambil air yang disediakan oleh lori tangki air dari Air Selangor berikutan masalah gangguan air yang berlaku di Selangor dan Lembah Klang ketika tinjauan di Desa 288 Apartments ,Ampang hari ini. - Foto BERNAMA
Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd memaklumkan bekalan air telah pulih sepenuhnya di tiga wilayah iaitu Kuala Selangor, Hulu Selangor, dan Kuala Lumpur.

Ketua Jabatan Perhubungan Pelanggan dan Komunikasinya Abdul Raof Ahmad berkata proses pemulihan bekalan air di tempat-tempat lain yang terjejas susulan pencemaran bau juga telah mencapai tahap 97 peratus sehingga pukul 6.00 petang tadi.

"Bagi wilayah Petaling pula, bekalan air sudah pulih 98 peratus manakala wilayah Gombak pulih 97 peratus. Bagi wilayah Klang/Shah Alam pula, sebanyak 96 peratus pulih, dan 81 peratus di wilayah Kuala Langat," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata pihaknya menyasarkan pemulihan bekalan 100 peratus di semua kawasan yang terjejas menjelang tengah malam hari Isnin.

Pihaknya juga sedang berusaha mempercepatkan pemulihan keseluruhan kawasan terjejas dengan meningkatkan tekanan dan menstabilkan aliran bekalan di sistem agihan, jelasnya.

Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat dan status terkini gangguan bekalan air boleh melayari laman sesawang www.syabas.com.my, Aplikasi Air Selangor atau menerusi laman Facebook Air Selangor dan Twitter @airselangor

Sementara itu, kerja-kerja pembersihan minyak hitam di kebuk masuk loji rawatan kumbahan Batang Kali, Hulu Selangor yang dikatakan menjadi punca pencemaran bau dan seterusnya menjejaskan bekalan air telah siap sepenuhnya dengan loji itu kembali beroperasi pada pukul 5.00 petang semalam.

Semalam, Bernama melaporkan pembuangan bahan berasaskan minyak disyaki punca pencemaran bau yang menyebabkan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1 (SSP1), SSP2, SSP3 dan Rantau Panjang dihentikan operasinya.

-- BERNAMA
#bekalan air #Bekalan Air Pulih #Hulu Selangor #Kuala Lumpur #Kuala Selangor #Pengurusan Air Selangor