KUALA LUMPUR: Beberapa langkah proaktif kerajaan sejak beberapa bulan lepas, dilihat berjaya menstabilkan semula bekalan ayam di negara ini.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Ronald Kiandee berkata, ketika ini, bekalan ayam berada pada kapasiti 106 peratus daripada keperluan negara.

Ahli Parlimen Beluran itu berkata, kapasiti iitu membolehkan negara kembali mengeksport ayam ke luar negara.

"Ketika ini kita mampu menghasilkan 106 peratus daripada keperluan kita. Kita sudah berada dalam kapasiti untuk mengeksport bekalan ayam daripada negara kita.  Beberapa bulan lalu memang kita berhadapan dengan gangguan. Sebab itu beberapa langkah dan tindakan diambil kerajaan untuk stabilkan keadaan bekalan ayam negara kita.

“Antaranya untuk menghapuskan permit import (AP) dan membuka penghantaran pengimportan ayam dari luar. Pada masa yang sama kita menghentikan eksport ayam ke negara luar; dan tindakan yang diambil kerajaan ini nampaknya berkesan, dan berjaya menstabilkan bekalan ayam negara kita,” katanya lagi.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Nurul Izzah Anwar (PH – Permatang Pauh), tentang tarikh kerajaan akan menarik semula sekatan pengeksportan ayam ke luar negara..

Susulan bekalan ayam kritikal pada separuh pertama tahun ini, MAFI mengambil keputusan untuk menyekat eksport ayam melibatkan bekalan sebanyak 3.6 juta, bermula 1 Jun lepas.

Ronald dilaporkan sebagai berkata, langkah itu merupakan intervensi kerajaan bagi mengukuhkan sekuriti makanan, bagi menstabilkan kembali harga di pasaran.

Beberapa pemain industri baru-baru ini meminta kerajaan untuk melonggarkan sekatan selepas bekalan ayam dilihat kembali pulih.

Terdahulu, Nurul Izzah juga mahu mengetahui sebab NAFAS lewat dalam menurunkan subsidi benih padi kepada petani; selain rasional serta jaminan Kementerian tentang penglibatan GLC, GLIC dan agensi lainnya tidak akan mengganggu-gugat golongan penternak, pemborong, dan pengangkutan sedia ada.

Mengulas perkara tersebut, Ronald berkata, Kementerian tidak menafikan hakikat bahawa telah berlaku sedikit masalah dalam isu pengedaran benih padi sah ini semasa Musim 1/2021

Dalam hal ini, mulai Julai 2021 (Musim 2/2021), beliau berkata, bagi menjaminkan tiada kelewatan dalam mendapatkan benih padi sah, MAFI telah melantik tiga belas pemborong benih padi sah dan dua belas syarikat pengeluar melalui pengeluaran lesen borong oleh Ketua Pengarah Kawalselia Padi dan Beras (KPB).

Lesen dan permit peruncit pula, tambahnya lagi, diberikan kepada agen, individu atau syarikat yang berdaftar dengan Kerajaan dan bernaung di bawah pengeluar/pemborong sedia ada untuk mengedarkan benih padi sah.

“MAFI juga telah memperkenalkan kaedah baharu dalam menambahbaik sistem pengedaran benih padi sah sedia ada di mana hanya 30% dilaksanakan oleh PPK dan manakala baki 70% dilaksanakan melalui pemborong lain yang dilantik di seluruh negara.

“Sejak sistem baharu ini dilaksanakan, rantaian pengedaran benih padi sah adalah lebih teratur dan sistematik sekali gus isu kelewatan juga dapat ditangani,” katanya lagi.