TELUK INTAN: Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata beliau telah bertemu wakil kerajaan India semalam membincangkan mengenai sekatan eksport bekalan beras putih dari negara berkenaan.

Beliau berkata melalui pertemuan itu kerajaan India akan menjawab surat (perbincangan) itu minggu depan antaranya perbincangan mengenai langkah memastikan beras yang berada dalam pasaran dan harga yang berpatutan.

"Perdana Menteri India telah menghantar wakil untuk bertemu semalam di Kementerian Pertanian Keterjaminan Makanan (KPKM) bagi membincangkan isu beras putih secara kerajaan dengan kerajaan (G2G).

"Ertinya kita tidak duduk diam...supaya beras berada dalam pasaran dan harga yang berpatutan.

"Kita harap antara G2G ini dapat meringankan bebanan atau kekurangan sementara yang berlaku sekarang ini," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Terdahulu, beliau mengadakan lawatan ke Ladang Kekal Pengeluaran Benih Padi Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (FELCRA) di sini yang berkeluasan 500 hektar diuruskan sepenuhnya oleh FELCRA Plantation Services Sdn Bhd.

Sebelum ini, Mohamad berkata beliau akan mengadakan pertemuan dengan Menteri Pertanian dan Kebajikan Petani India bagi menyatakan hasrat memastikan negara itu terus mengeksport beras putih kepada Malaysia.

Bagi usaha jangka panjang, Mohamad berkata KPKM akan cuba memainkan peranan bersama kerajaan negeri Sarawak dan Sabah untuk membuka ladang padi di negeri terbabit pada masa akan datang, supaya stok beras dalam negara seimbang.

Beliau berkata pihaknya bimbang sekiranya angin kencang dan bencana melanda empat negeri pengeluar padi iaitu Kelantan, Kedah, Terengganu dan Perlis bakal memberi masalah kepada negara pada masa hadapan berkaitan beras.

Sementara itu, berkenaan program lawatannya di Ladang Kekal Pengeluaran Benih Padi FELCRA hari ini, beliau berkata menerusi Program Smart SBB dengan kerjasama FGV Holdings Berhad, FELCRA Plantation Services turut mempunyai kapasiti pengeluaran benih padi sistem Clearfield berjumlah 7,000 tan metrik setahun.

Jumlah keluasan kawasan padi di Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Seberang Perak adalah 14,440 hektar dengan purata pengeluaran padi 4.5 tan per hektar yang menghasilkan 59,166 metrik tan semusim.

-- BERNAMA