Terkini: Inkues kematian Zara Qairina – ikuti perkembangan harian prosiding mahkamah di sini.
MALAYSIA

Bekalan elektrik pulih berperingkat susulan insiden di Loji Edra, Melaka

Shafiqa Azami 15/10/2025 | 09:50 MYT
Bekalan elektrik di Lembah Klang dipulihkan berperingkat susulan gangguan di Loji Janakuasa Edra Power Plant, Melaka. -Foto TNB
KUALA LUMPUR: Bekalan elektrik yang terjejas di beberapa kawasan di Lembah Klang susulan gangguan di Loji Janakuasa Edra Power Plant di Melaka kini dipulihkan secara berperingkat.


Ringkasan AI
  • Bekalan elektrik yang terjejas di beberapa kawasan Lembah Klang akibat gangguan di Loji Janakuasa Edra Power Plant, Melaka kini dipulihkan secara berperingkat.
  • Kawasan seperti Damansara City, Sri Hartamas, Ampang dan Bukit Jalil antara yang telah menerima semula bekalan, dengan kerja pembaikan giat dijalankan oleh pasukan teknikal TNB.
  • TNB memohon maaf atas kesulitan dan menasihatkan pengguna melaporkan gangguan melalui SARA Chatbot, talian 15454, atau saluran rasmi TNB Careline.


Tenaga Nasional Berhad (TNB) dalam satu kenyataan memaklumkan kerja-kerja pembaikan sedang giat dijalankan oleh pasukan teknikal di lapangan bagi memastikan pemulihan bekalan dapat diselesaikan dengan segera.

Setakat jam 5.30 petang, bekalan telah dipulihkan di beberapa kawasan termasuk Damansara City, Sri Hartamas, Danau Desa, SPPK Cheras, Ampang, Bukit Jalil, Sri Damansara, Kota Puteri, dan Pasir Gudang Darat.

Gangguan bekalan besar itu sebelum ini turut menjejaskan beberapa kawasan di Lembah Klang, Johor Bahru, Ipoh, Kuantan dan Melaka, dengan pusat tumpuan utama seperti Mid Valley, Pavilion Damansara Heights, Sunway Velocity dan TRX turut dilaporkan terkesan.

“TNB amat menghargai kesabaran semua pelanggan yang terjejas dan memohon maaf atas kesulitan yang berlaku,” kata kenyataan itu.

Untuk melaporkan sebarang gangguan bekalan, orang ramai boleh menghubungi SARA Chatbot di mytnb.com.my, talian 15454, atau menghantar mesej melalui Facebook TNB Careline, X (@Tenaga_Nasional), dan e-mel tnbcareline@tnb.com.my.



#bekalan elektrik #Lembah Klang #TNB #Loji Janakuasa Edra Power Plant Melaka